
PEMAIN Paling Bernilai (MVP) Anugerah Liga Malaysia (Liga M) 2025/26, Afiq Fazail lebih selesa untuk memacu kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) berbanding memberi fokus mengejar glamor dengan memburu anugerah peribadi.
Walaupun terpaksa menanti sehingga usia 32 tahun untuk menerima anugerah utama bola sepak tempatan, Afiq menjelaskan, tiada istilah terlambat kerana percaya setiap kerja keras akan membuahkan hasil.
“Pertama sekali, saya lebihkan (keutamaan) kepada pasukan dan rezeki seperti ini akan datang kemudian,” katanya ketika ditanya tentang penantian untuk mendapat pengiktirafan tertinggi bola sepak Malaysia.
Kejayaan itu juga menyaksikan nama Afiq kini berada sebaris dengan pemain tengah hebat lain seperti Mohd. Badhri Radzi atau Piya, Safiq Rahim dan Baddrol Bakhtiar yang sebelum ini pernah menerima Anugerah MVP.
Pengiktirafan kali ini juga membuktikan peranan pemain tengah tulen juga tetap mendapat pengiktirafan untuk menerima Anugerah MVP, bukannya terlalu berpaksikan kepada bintang di jentera serangan.
“Mungkin sekarang orang sudah mula buka mata dengan pemain tengah, tetapi yang penting atas padang kena bekerja keras. Tak tahu nak cakap macam mana (ikut jejak Arif Aiman Hanapi pertahanan anugerah MVP), Insya-Allah kalau ada rezeki kita bersaing sihat,” katanya.
Afiq membuktikan kualiti di pentas kemasyhuran itu apabila turut diiktiraf sebagai Pemain Tengah Terbaik dengan mengetepikan cabaran Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) dan Nooa Laine (Selangor FC).
The post Afiq Fazail bukan mahu kejar populariti appeared first on Kosmo Digital.






