Afiq raih anugerah MVP, JDT terus pamer dominasi luar biasa

LocalFootball
12 Aug 2026 • 10:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Afiq raih anugerah MVP, JDT terus pamer dominasi luar biasa

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendominasi arena bola sepak Malaysia apabila cemerlang memenangi tujuh kategori utama pada Anugerah Liga Malaysia (Liga M) 2025/26, sebentar tadi.

Pada kali ini, tonggak tengah Harimau Selatan, Afiq Fazail diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) sekali gus mengekalkan penguasaan JDT yang mendominasi kategori utama itu selepas Arif Aiman Hanapi memenanginya pada empat edisi lepas.

“Saya pun terkejut saya dapat MVP kali ini. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih untuk semua rakan-rakan pasukan, kalau tidak ada mereka, semua ini susah nak jadi.

“Saya rasa ini rezeki untuk isteri dan anak-anak saya,” katanya.

Pengiktirafan buat tonggak JDT itu menandakan kemuncak kepada musim cemerlangnya yang terus memainkan peranan penting buat pasukan sepanjang musim 2025/26, menyaksikan Harimau Selatan meraih quadruple buat kali keempat di pentas Liga M.

Afiq sebelum ini sudah membuktikan konsistensinya di pentas kemahsyuran ini apabila turut sama diiktiraf sebagai Pemain Tengah Terbaik pada edisi 2022 dan 2023 menjadikan musim 2025/26 sebagai kejayaan kali ketiganya, menyingkirkan calon lain iaitu Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) dan Nooa Laine (Selangor FC).

Dalam kategori lain, Afiq turut memenangi anugerah Pemain Tengah Terbaik, Xisco Munoz (Jurulatih Terbaik), Ahmad Syihan Hazmi (Penjaga Gol Terbaik), Bergson da Silva (Pemain Import Terbaik) dan JDT juga diangkat sebagai pasukan terbaik.

Selain itu, Bergson juga diangkat sebagai penerima anugerah Kasut Emas Liga Super selepas menjaringkan 27 gol manakala Safawi Rasid (Kuala Lumpur City) menerima anugerah sama dalam kategori pemain tempatan.

Sementara itu, tonggak Selangor FC, Faisal Abdul Halim turut melakar detik istimewa apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, sekali gus meraih trofi individu pertamanya selepas empat kali tercalon sejak edisi 2020, 2021, 2022 dan 2023. – KOSMO! ONLINE

SENARAI PEMENANG

1. Penjaga Gol Terbaik: Syihan Hazmi Mohamed

2. Pertahanan Terbaik: Quentin Cheng

3. Pemain Tengah Terbaik: Afiq Fazail

4. Penyerang Terbaik: Faisal Abdul Halim

5. Jurulatih Terbaik: Xisco Munoz

6. Pemain Import Terbaik: Bergson da Silva

7. Pemain Muda Terbaik: Haziq Kutty Abba

8. Pemain Paling Bernilai (MVP): Afiq Fazail

9. Anugerah Fair Play: Melaka FC

10. Pasukan Terbaik: JDT

11. Gol Terbaik Liga Malaysia 2025/26: Ramadhan Saifullah Usman

12. Kasut Emas Liga Super: Bergson da Silva – 27 Gol

13. Kasut Emas Liga Super (Tempatan): Safawi Rasid – 13 Gol

14. Penyokong Terbaik: Boys of Straits

The post Afiq raih anugerah MVP, JDT terus pamer dominasi luar biasa appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved