AGC Fail Permohonan Semak Keputusan Bebas Syed Shah Iqmal Selepas Teliti Alasan Penghakiman Panel Hakim

6 Nov 2026 • 10:17 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

AGC Fail Permohonan Semak Keputusan Bebas Syed Shah Iqmal Selepas Teliti Alasan Penghakiman Panel Hakim

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan ‘pendakwah selebriti’ Da’i Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Mohd Shaiful daripada pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Permohonan Semakan Keputusan Da’i Syed Berlandaskan Prinsip Perundangan Serta Kriteria Ditetapkan – AGC

AGC menerusi satu kenyataan semalam (5 November) berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan, namun memutuskan untuk memfailkan permohonan semakan selepas meneliti alasan penghakiman panel hakim terbabit.

“Selepas meneliti alasan penghakiman oleh panel Hakim Mahkamah Rayuan, pendakwa raya memutuskan satu permohonan semakan akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 [P.U. (A)524/1994] (Rules of the Court of Appeal 1994).

“Permohonan semakan ini akan berlandaskan prinsip-prinsip perundangan serta kriteria dan ambang ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan.

“Ia sebagaimana digariskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd,” jelas AGC.

Pada Rabu 4 Oktober, Syed Shah Iqmal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya dengan keputusan majoriti hakim 2-1, atas pertuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.

Menurut hakim Datuk Azman Abdullah, kelakuan wanita yang terus berhubung dengan Syed Shah Iqmal beberapa bulan selepas kejadian termasuk mengajaknya untuk berjumpa semula menjadi antara faktor Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan rogol itu.

Hujahan Akan Tertumpu Pada Persoalan Sama Ada Mahkamah Boleh Pertimbangkan Semakannya – AGC

Dalam pada itu, AGC memaklumkan bahawa hujahan pihak pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan berkenaan bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya.

“AGC kekal komited dalam memelihara keluhuran undang-undang dan memastikan keadilan ditegakkan selaras dengan saluran serta peruntukan undang-undang.”

Mahkamah Sesyen Sebelum Ini Lepas & Bebas Da’i Syed

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan merogol selepas pihak pendakwaaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan berkenaan selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid kemudiannya telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Da’i Syed pada 30 Ogos 2024 dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.

Namun selepas 21 hari di Penjara Kajang, dia kemudiannya dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sehingga rayuan utamanya untuk ketepikan sabitan serta hukuman didengar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved