Agenda Kestabilan, Ekonomi Dan Kebajikan Rakyat Kekal Teras Utama Kerajaan Perpaduan - Pemimpin PH

LocalPolitics
7 May 2026 • 8:54 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Agenda Kestabilan, Ekonomi Dan Kebajikan Rakyat Kekal Teras Utama Kerajaan Perpaduan - Pemimpin PH

KUALA LUMPUR — Kerajaan Perpaduan akan terus memperkukuh agenda kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat sebagai teras utama pentadbiran negara.

Memberi jaminan itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga agenda berkenaan menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak awal penubuhan, dan ia kekal sebagai keutamaan selepas hampir tiga tahun mentadbir negara.

Menurut beliau, kerajaan tersebut yang dibentuk atas dasar kepercayaan dan saling menghormati berjaya memastikan kestabilan pentadbiran termasuk di Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kerajaan ini dibina atas nilai kepercayaan dan hormat-menghormati. Sebab itu saya kagum dengan Tok Min yang berjaya mempertahankan kemenangan di Negeri Sembilan dan mentadbir negeri ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.

Turut hadir Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Saifuddin turut menegaskan keyakinan PH terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui negara sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

“Kami mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan baki penggal ini dan PH juga mahu beliau terus memimpin negara bagi penggal kedua sebagai Perdana Menteri.

“Hala tuju kita jelas dan ia perlu dimulakan dari Negeri Sembilan dengan memperkukuh kedudukan serta meneruskan kepimpinan Tok Min,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi, tatkala negara berdepan cabaran global termasuk krisis tenaga.

“Dunia kini sedang berdepan krisis dan perkara ini dibincangkan setiap minggu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi. Apa pun cabarannya, kita berjanji untuk mempertahankan kebajikan rakyat dan memastikan ekonomi negara kekal stabil,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata, persefahaman politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan penting bagi memastikan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan terus terpelihara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, perkembangan politik terkini di Negeri Sembilan memberi pengajaran penting kepada semua pihak supaya kekal tenang dan bertindak secara rasional ketika berdepan ketidaktentuan politik.

Menurutnya, kesemua 17 ADUN PH di Negeri Sembilan kekal bersatu menyokong kepimpinan kerajaan negeri dan mandat yang diberikan rakyat.

“Kita mahu Negeri Sembilan terus stabil supaya negara juga kekal stabil. Ini penting bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diteruskan,” katanya.

Loke turut menggesa semua wakil rakyat dan jentera parti terus memberi fokus kepada usaha membantu rakyat serta memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan mampan dan kestabilan ekonomi demi kesejahteraan rakyat walaupun berdepan ketegangan politik baru-baru ini.

Jelasnya, pentadbiran negeri kekal komited dalam menjaga kebajikan rakyat menerusi penekanan terhadap pendidikan, pengukuhan ekonomi dan usaha menarik pelaburan baharu ke Negeri Sembilan.

“Kita mahu negeri ini terus maju dan ekonomi terus berkembang supaya rakyat tidak terbeban. Sehingga hari ini, masih ada syarikat yang datang melabur di negeri ini.

“Kita bukan mahu bercakap soal politik semata-mata, tetapi bagaimana untuk memenangi hati rakyat dengan mengurangkan beban mereka. Itu yang lebih penting,” katanya. - Getaran, 7 Mei 2026