
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan kembali menikmati kestabilan politik apabila status kerajaan minoriti yang sebelum ini menyelubungi pentadbiran negeri berakhir, susulan kesepakatan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan di peringkat tertinggi parti itu mengembalikan kedudukan kerajaan negeri seperti sediakala.
“Status kerajaan minoriti tidak lagi timbul selepas kepimpinan tertinggi UMNO dan PH mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Situasi itu hanya berlaku pada hari kejadian, dan ketika itu juga tiada keputusan muktamad dibuat kerana pihak pembangkang sendiri tidak mempunyai pendirian yang jelas. Justeru, istilah ‘minoriti’ tidak lagi relevan,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan terbaharu termasuk tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang menolak usaha menjatuhkan kerajaan negeri, turut mengukuhkan kedudukan pentadbiran sedia ada.
Kesepakatan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Kepimpinan bersama yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berlangsung semalam.
Ia sekali gus menegaskan kesinambungan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Mengulas lanjut Aminuddin berkata, beliau menerima keputusan tersebut dan akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saya menerima keputusan ini dan akan terus menjalankan tugas seperti yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menarik semula sokongan terhadap Menteri Besar perlu mematuhi keputusan yang telah dipersetujui di peringkat tertinggi parti.
“Keputusan ini dibuat menerusi mesyuarat Biro Politik UMNO dan PH dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Perdana Menteri.
“Apabila keputusan telah dimuktamadkan, kepimpinan di Negeri Sembilan wajib akur,” katanya.
Beliau turut optimis semua ADUN terbabit akan kembali menyokong Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
“Sama ada mereka masih mempunyai keyakinan terhadap Menteri Besar adalah perkara berasingan. Namun, demi kestabilan negeri, sokongan kepada Kerajaan Perpaduan mesti diteruskan,” katanya.
Terdahulu, beberapa ADUN BN dilaporkan menarik semula sokongan terhadap Aminudddin, menyebabkan pentadbiran negeri beroperasi sebagai kerajaan minoriti, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin menegaskan kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam urusan institusi adat, termasuk pelantikan Undang Luak Sungai Ujong, kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak berkenaan.
“Kami telah menerima saman pemula dan menyerahkan tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang. Pada peringkat adat dan luak, kerajaan negeri tidak campur tangan,” katanya.
Perkembangan terbaharu ini dijangka meredakan ketidaktentuan politik serta membolehkan kerajaan negeri menumpukan semula kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat. - Getaran, 6 Mei 2026






