KUALA LUMPUR – Agenda Malaysia Biru yang digagaskan UMNO dilihat selari dengan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang dibawa Pas, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada kerjasama politik kedua-dua parti.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kedua-dua gagasan berkenaan mempunyai persamaan dari segi wawasan dan matlamat yang ingin dibawa untuk negara.
"Sebenarnya, itulah juga agenda yang kita ada pada WINS 2051. Pas ada WINS untuk bersatu.
"Wawasan Induk Negara Sejahtera memang dah ada, lebih kurang sama juga dengan apa yang digagaskan oleh Agenda Malaysia Biru pada hari ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden menggariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun kemerdekaan negara sekiranya Barisan Nasional kembali menerajui Putrajaya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, agenda tersebut membawa maksud Malaysia berdaulat dan bersatu, mewujudkan negara berpendapatan tinggi, makmur, saksama dan disegani di seluruh dunia.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran pemimpin Pas pada PAU 2026, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menjelaskan, kehadiran wakil parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu bertujuan mengukuhkan ukhuwah serta hubungan politik antara kedua-dua parti.
Malah, ujarnya, Pas dan UMNO mempunyai kekuatan organisasi yang kukuh hingga ke peringkat akar umbi, selain berperanan penting dalam landskap politik Melayu dan Bumiputera.
"Pas dan UMNO mempunyai asas yang sama dalam konteks politik Malaysia, khususnya kerana kedua-duanya mempunyai sokongan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera serta organisasi yang kukuh dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan.
"Sudah tentu, teras politik di Malaysia ini ialah orang Melayu dan Bumiputera. Kedua-duanya mempunyai organisasi yang kuat di peringkat akar umbi sehingga ke atas.
"Pas dengan UMNO adalah tonggaknya. Jadi, kehadiran kami pada hari ini untuk melengkapkan lagi kerjasama politik ini dalam konteks Malaysia," ujarnya.
Mengenai kerjasama di peringkat akar umbi menjelang pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Idris berkata, perkara itu sudah mula dilaksanakan oleh kedua-dua parti.
Menurutnya, pimpinan Pas telah mengarahkan ahli di peringkat bawah supaya menjalin hubungan dan meneroka ruang kerjasama dengan ahli UMNO.
"Saya ingat sekarang sudah berjalan pun. Kita memang telah arahkan semua ahli di bawah kita supaya menjalin hubungan untuk meneroka ruang kerjasama bersama ahli UMNO di peringkat bawah. Itu sudah berjalan," katanya.



