Agenda Tingkatkan Amalan, Tatakelola Yang Baik Diteruskan, Faktor Penting Hapuskan Ketirisan

LocalPolitics
24 Aug 2023 • 7:57 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar ketika mempengerusikan pertemuan dengan Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan, petang semalam. - gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Agenda kerajaan untuk meningkatkan amalan dan tatakelola yang baik akan diteruskan.

Memberikan jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugasan tersebut ialah faktor penting dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran.

Menurut beliau, tatakelola yang baik juga berupaya menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan.

“Agenda ini (jika dilaksanakan dengan sistematik) juga mampu menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara,” katanya lewat malam tadi.

Beliau terdahulu mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasa berkaitan jenayah kewangan, petang semalam di Putrajaya.

Jelasnya, pertemuan dihadiri 22 Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasa itu adalah susulan daripada sesi 17 Ogos lalu.

image is not available
Perdana Menteri beri jaminan kerajaan akan meneruskan dan meningkatkan amalan serta tatakelola yang baik. - gambar Facebook

Perdana Menteri menegaskan, negara dianggarkan mengalami kerugian hasil sehingga RM5 bilion setahun.

“Jenayah kewangan yang menyumbang kepada ekonomi bayangan pula menyebabkan kehilangan hasil cukai, dianggarkan RM70 bilion setahun.

“Memandangkan trend jenayah kewangan yang semakin kompleks, saya arahkan kesepaduan dan kerjasama Agensi Kerajaan dengan lebih proaktif dan efektif,” katanya.

Beliau menarik perhatian, amalan perundangan berkaitan pengurusan aset yang disita dan dilucut hak akan ditambah baik, sejajar dengan tadbir urus terbaik antarabangsa.

“Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) perlu menambah baik operasi pemantauan untuk memastikan usaha ini terus dipertingkatkan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua anggota agensi yang terus bertungkus lumus untuk memerangi dan menumpaskan jenayah ini,” katanya.

image is not available
Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan negara yang menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri semalam. - gambar Facebook

Perdana Menteri dalam perkembangan berkaitan, juga menyeru kerjasama dan penglibatan rakyat untuk turut serta dalam usaha ini.

“Adalah menjadi harapan besar buat saya dan seluruh rakyat Malaysia agar kesemua warga dan anggota agensi meneruskan usaha murni ini, dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti demi mengangkat martabat negara,” katanya. - Getaran, 24 Ogos 2023