PM Anwar: Agenda tingkatkan tatakelola diteruskan bagi hapus ketirisan dan pembaziran
zulfadli
24/08/2023 - 09:26
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Agenda untuk meningkatkan tatakelola di negara ini akan diteruskan, yang mana merupakan faktor penting dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, ia juga merupakan faktor penting untuk menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan malah menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.
"Adalah dianggarkan negara mengalami kerugian hasil sebanyak RM5 bilion setahun manakala jenayah kewangan yang menyumbang kepada ekonomi bayangan menyebabkan kehilangan hasil cukai dianggarkan sebanyak RM70 bilion setahun," katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau, malam tadi.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu ditekankan semasa pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan, semalam.
Perdana Menteri berkata, memandangkan trend jenayah kewangan yang semakin kompleks, beliau mengarahkan kesepaduan dan kerjasama agensi kerajaan dengan lebih proaktif dan efektif.
"Amalan perundangan berkaitan pengurusan aset yang disita dan dilucut hak akan ditambah baik sejajar dengan tadbir urus terbaik antarabangsa.


"NFCC perlu menambahbaik operasi pemantauan untuk memastikan usaha ini terus dipertingkatkan," katanya.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota agensi berkaitan yang bertungkus lumus memerangi dan menumpaskan jenayah kewangan, selain menyeru kerjasama dan penglibatan rakyat untuk turut serta dalam usaha ini.

"Adalah menjadi harapan besar buat saya dan seluruh rakyat Malaysia agar kesemua warga dan anggota agensi untuk meneruskan usaha murni ini dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti demi mengangkat martabat negara," katanya. - DagangNews.com
