Agensi Pelancongan Ini Curi Perhatian, Tawar Pakej Umrah Sambil Tonton Ronaldo 

14 Jan 2025 • 10:33 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Agensi Pelancongan Ini Curi Perhatian, Tawar Pakej Umrah Sambil Tonton Ronaldo

Sebuah agensi pelancongan dari Indonesia baru-baru ini telah mencetuskan sensasi apabila memperkenalkan pakej umrah yang cukup ‘unik’.

Pakej umrah selama tujuh hari itu merangkumi peluang untuk menonton perlawanan antara kelab terkenal Al-Nassr dan Al-Ahli dalam liga Saudi.

Bagi peminat bola sepak, ini mungkin kelihatan seperti ‘peluang keemasan’ untuk melihat sendiri aksi legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo di atas padang.

Agensi pelancongan tersebut mendakwa bahawa ini adalah masa yang tepat untuk menunaikan umrah, kerana mereka yang bertuah bakal menyaksikan perlawanan terakhir Ronaldo di Jeddah musim ini pada Februari nanti.

Difahamkan, pakej yang ditawarkan dengan harga 34.5 juta Rupiah (kira-kira RM9,556.50) seorang itu hanya dibuka kepada 35 peserta terawal.

Pakej tersebut termasuklah tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan hotel bertaraf empat bintang, makanan tiga kali sehari, visa umrah dan tiket perlawanan.

Selain itu, ia turut merangkumi lawatan bandar, tiket ke Muzium Wahyu di Makkah, perjalanan menggunakan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain serta bimbingan mutawwif profesional sepanjang perjalanan.

https://www.instagram.com/p/DEPD02sz3u3/?igsh=ZzB3Zm44bXJpZzkw

Dalam pada itu, perkongsian tentang pakej ini di media sosial telah mendapat perhatian meluas, dengan ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi daripada netizen.

Rata-rata ‘terkejut’ dan teruja melihat pakej umrah tersebut yang dikatakan ‘lain daripada yang lain’.

Sementara itu, ramai juga yang berseloroh dan memuji usaha kreatif agensi pelancongan terbabit.