
SHAH ALAM, 25 OGOS: Status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat susulan henti tugas sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Bernam mencapai 73.3 peratus setakat 6 petang.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air membabitkan wilayah Hulu Selangor dan Sabak Bernam dijangka pulih jam 12 tengah malam ini.
“Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” kata dalam kenyataan hari ini.
Menurut agensi itu, bantuan alternatif diteruskan melalui lori tangki air ke kawasan terjejas, dengan tumpuan di premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Maklumat boleh didapati melalui https://waterupdates.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Semalam, Air Selangor memaklumkan henti tugas sementara LRA Sungai Bernam berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat kepala air di Sungai Bernam.
Agensi itu memaklumkan pihaknya mengambil segala usaha bagi meminimumkan dampak gangguan bekalan tidak berjadual membabitkan pengguna di wilayah Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
The post Agihan air capai 73.3 peratus takat 6 petang, bekalan dijangka pulih tengah malam ini appeared first on Selangorkini.

