SHAH ALAM, 10 MAC: Agihan kupon digital RM10 yang dilaksana di 10 bazar Ramadan menerusi program Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar diperluas ke enam lagi bazar.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata penambahan itu membabitkan bazar di SS6 Kelana Jaya, Seksyen 4 dan Seksyen 7 Kota Damansara, Taman Medan, Taman Sri Manja dan Vista Damansara.

“Sebelum ini, 4,000 kupon digital diagihkan di 10 bazar Ramadan tetapi ada penambahan berikutan terdapat tajaan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya berjumlah RM30,000.
“Pengunjung boleh dapatkannya di bazar terbabit mengikut tarikh yang ditetapkan bermula di SS6 Kelana Jaya esok sebanyak 600 kupon digital,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi SelangorKini.

Mula diperkenal pada Ramadan 2020, PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.
Pada 2023 MBI turut memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.
Setakat Oktober tahun lalu, seramai 40,000 peniaga melibatkan semua produk niaga sudah menyertai platform berkenaan dan Kerajaan Negeri menyasarkan 50,000 peniaga menyertainya menjelang 2026.

The post Agihan kupon digital RM10 diperluas ke enam lagi bazar Ramadan appeared first on Selangorkini.


