KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila agihan zakat bagi tahun 2025 meningkat 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah agihan zakat pada tahun lalu mencecah RM337.35 juta berbanding RM269.53 juta pada 2024, sekali gus mencerminkan keupayaan institusi itu menyalurkan hasil kutipan kepada golongan yang memerlukan secara lebih meluas dan berkesan.
Pada masa sama, kutipan zakat bagi tahun 2025 turut mencatat sejarah tersendiri apabila meningkat 19 peratus kepada RM354.67 juta, iaitu angka tertinggi pernah direkodkan MAIK.
Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi itu dilihat sebagai petunjuk keyakinan rakyat Kelantan terhadap pengurusan zakat negeri selain kesedaran masyarakat menunaikan tanggungjawab berzakat yang semakin tinggi.
"Segmen agihan terbesar direkodkan menerusi asnaf fisabilillah dengan jumlah RM162.3 juta, diikuti asnaf fakir dan miskin sebanyak RM117.45 juta.
"Bagi asnaf fakir dan miskin, bantuan tetap bulanan berjumlah RM34.75 juta diagihkan kepada 8,489 penerima, khususnya warga emas berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK Bagi Tahun 2025 di sini pada Ahad.
**media[3495857]**
Menurut beliau, golongan lebih muda turut dipertimbangkan sekiranya menghidap penyakit kronik dan tidak lagi mampu bekerja.
Ujarnya, kadar bantuan bulanan disalurkan antara RM200 hingga RM1,000 mengikut keperluan penerima.
"Selain itu, bantuan am secara sekali beri atau one-off melibatkan perbelanjaan RM26.92 juta kepada 18,919 ketua isi rumah.
"Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban sara hidup, kecemasan serta keperluan mendesak lain dengan kadar antara RM500 hingga RM3,000.
"Dalam aspek perumahan pula, MAIK membelanjakan RM14.97 juta bagi membina rumah baharu untuk 215 keluarga asnaf," katanya.
Ujar beliau, rumah yang dibina melibatkan tiga kategori iaitu rumah tiga bilik, empat bilik dan lima bilik mengikut keperluan keluarga penerima.
Tengku Mohamad Rizam memberitahu, sebanyak 685 rumah uzur dan usang turut dibaik pulih menerusi bantuan pemulihan rumah kediaman membabitkan peruntukan lebih RM13.3 juta.
Sementara itu, katanya bidang pendidikan terus diberi perhatian apabila bantuan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) berjumlah RM12.5 juta disalurkan kepada 5,589 pelajar.
"Bantuan berkenaan melibatkan pelajar peringkat ijazah, diploma dan asasi. Bagi membantu keluarga menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, MAIK memperuntukkan RM3.49 juta menerusi bantuan awal persekolahan.
"Seramai 7,123 ketua isi rumah menerima manfaat tersebut dengan kadar RM150 bagi setiap pelajar. Dalam sektor kesihatan, bantuan rawatan perubatan berjumlah RM3.09 juta diberikan kepada 1,463 penerima sepanjang tahun lalu," katanya.
**media[3495859]**
Menurut beliau, ia termasuk bantuan bagi kos rawatan hemodialisis serta pembelian kanta mata kepada penerima layak.
Tambahnya, bagi asnaf fisabilillah pula, sektor pendidikan menjadi pecahan terbesar dengan perbelanjaan RM34.4 juta di mana ia melibatkan program utama iaitu Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP) MAIK berjumlah RM15.94 juta yang memberi manfaat kepada 6,161 mahasiswa di dalam dan luar negara.
"Selain itu, sumbangan melanjutkan pelajaran ke IPT di bawah kategori fisabilillah sebanyak RM10.61 juta diagihkan kepada 7,135 penerima.
"Biasiswa Tengku Anis MAIK pula melibatkan perbelanjaan RM4 juta kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan tingkatan enam dalam kalangan asnaf.
"Dalam usaha memakmurkan institusi masjid, MAIK membelanjakan RM17.22 juta bagi pengurusan serta pengimarahan masjid mukim di seluruh Kelantan," katanya.
Ujar Tengku Mohamad Rizam, peruntukan itu meliputi elaun pegawai masjid, kebersihan dan keceriaan, kelas pengajian al-Quran, skim kebajikan serta latihan pegawai masjid.
Beliau berkata, sebanyak RM11.44 juta lagi diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan masjid bagi memastikan keselesaan jemaah serta kemudahan berada pada tahap baik.
"Agenda dakwah kepada saudara baharu turut menjadi keutamaan apabila RM7.65 juta diagihkan kepada asnaf mualaf. Ia melibatkan program bimbingan fardu ain, dakwah komuniti Orang Asli, bantuan kecemasan, bantuan pendidikan serta pengurusan pusat latihan mualaf," katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, agihan kepada asnaf amil, al-gharimin, al-riqab dan ibnu sabil pula berjumlah RM50.12 juta dimana daripada jumlah itu, RM49.54 juta diperuntukkan kepada bahagian amil bagi mengurus kutipan, operasi dan tadbir urus zakat.
Dalam perkembangan sama, ujarnya MAIK turut mencatat beberapa kejayaan sepanjang 2025 termasuk menerima sijil audit bersih kali ke-25 berturut-turut sejak tahun 2000.
"Institusi itu juga dinobatkan johan kategori inovasi zakat terbaik (kutipan) sempena Anugerah Zakat Kebangsaan 2025. MAIK turut merekodkan penjimatan kos pembangunan dan penyelenggaraan sistem secara dalaman mencecah RM5.02 juta.
"Pencapaian keseluruhan itu membuktikan zakat bukan sekadar instrumen ibadah, sebaliknya menjadi pemangkin pembangunan sosial, pendidikan dan ekonomi ummah di Kelantan.
Dengan kutipan terus meningkat serta agihan semakin menyeluruh, MAIK dilihat berjaya mengukuhkan peranan sebagai institusi amanah rakyat dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan," katanya.
Dalam pada itu Tengku Mohamad Rizam memberitahu, sistem e-Amil MAIK merupakan platform digital yang dibangunkan bagi membolehkan amil merekod, mengurus serta membuat pindahan kutipan zakat dengan lebih efisien selaras kemajuan teknologi semasa.
Ujar beliau, sistem pengurusan amil secara berpusat (OSC) itu membenarkan akses kepada amil individu, amil syarikat dan amil aplikasi menerusi satu platform yang boleh digunakan melalui pelbagai peranti pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
"Melalui sistem berkenaan, pembayaran zakat boleh dibuat dengan lebih mudah menerusi beberapa kaedah seperti Kad Debit (FPX), Kad Kredit (MPGS) dan JomPAY. Pelaksanaan sistem ini sekali gus membantu menyeragamkan proses kutipan zakat melalui amil selain memudahkan urusan pengurusan serta pemantauan kutipan secara menyeluruh.
"Selain itu, e-Amil MAIK turut memodenkan gerak kerja amil zakat bagi memperkasa pengurusan zakat secara lebih cekap dan sistematik. Urusan kutipan, penyediaan laporan serta pemantauan prestasi semasa amil dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan telus, di samping meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat serta pengurusan data kutipan zakat secara bersepadu," katanya.



