BUKIT MERTAJAM – Agihan zakat oleh Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencatat peningkatan ketara kepada RM200.11 juta pada 2025, sekali gus memberi manfaat kepada 45,831 penerima yang terdiri daripada individu dan institusi.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah agihan itu meningkat 23 peratus berbanding RM162.13 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan bantuan disalurkan secara bersasar dan berimpak tinggi.
“Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan dana zakat disalurkan secara bersasar dan berimpak tinggi di samping mengukuhkan peranan institusi zakat dalam mendepani cabaran sosioekonomi semasa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Zakat MAINPP di sini pada Jumaat.
**media[3487109]**
Mohamad berkata, daripada keseluruhan agihan tersebut, kategori fisabilillah menerima peruntukan tertinggi iaitu RM95.59 juta atau kira-kira 47.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Kategori miskin pula menerima RM46.95 juta (23.5 peratus), diikuti amil sebanyak RM25.32 juta (12.7 peratus) dan fakir RM20.04 juta (10 peratus), selaras dengan keutamaan memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela.
"Bagi kategori ghorimin, sejumlah RM8.41 juta diagihkan bagi membantu individu yang dibebani hutang, manakala mualaf menerima RM3.37 juta bagi menyokong pengukuhan akidah dan kebajikan," ujarnya.
Menurutnya, kategori ibnu sabil pula menerima RM339,082 manakala ar-riqab sebanyak RM82,500, sekali gus menunjukkan kesemua lapan asnaf terus diberi perhatian secara adil.
Beliau yang juga Pengerusi Zakat MAINPP berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan, pembangunan institusi Islam, dakwah, kebajikan masyarakat, pembangunan insan serta program keagamaan.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, prestasi kutipan zakat MAINPP turut menunjukkan peningkatan apabila mencatat RM202.48 juta pada 2025 berbanding RM172.86 juta pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan sebanyak 17 peratus.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan tahap keyakinan tinggi umat Islam terhadap institusi zakat yang diurus secara profesional, telus dan berintegriti.
“Walaupun bilangan pembayar zakat menurun kepada 830,947 orang berbanding 907,613 pada 2024, jumlah kutipan keseluruhan meningkat, menunjukkan nilai sumbangan purata per pembayar semakin tinggi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, zakat harta mencatat kutipan RM193.58 juta, meningkat 17 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM129.95 juta atau 67 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Jumlah pembayar zakat harta turut meningkat kepada 71,442 orang atau syarikat berbanding 70,782 pada 2024.
"Bagi zakat fitrah, kutipan meningkat kepada RM8.89 juta berbanding RM7.33 juta pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan 21 peratus walaupun bilangan pembayar menurun kepada 759,505 orang.
“Trend ini dipengaruhi kadar bayaran fitrah yang berbeza mengikut kategori beras serta kecenderungan pembayar memilih kadar selari dengan kemampuan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kutipan melalui Skim Sakinah (potongan gaji) turut meningkat kepada RM63.85 juta berbanding RM60 juta pada 2024, dengan 49,307 pencarum melibatkan kira-kira 3,500 majikan.
"Dalam masa sama, sebanyak 51 peratus kutipan zakat harta atau RM99.58 juta diperoleh melalui kaunter zakat, menunjukkan perkhidmatan bersemuka masih menjadi pilihan utama pembayar.
“MAINPP akan terus memperkukuh usaha pendigitalan dan penambahbaikan perkhidmatan ke arah lebih cekap dan mesra pengguna,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat, amil, rakan strategik serta agensi kerajaan dan swasta yang menyumbang kepada kejayaan pengurusan zakat di negeri itu.
“Usaha ini akan terus diperkasakan selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) bagi memastikan institusi zakat kekal relevan dan berperanan sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi ummah,” katanya.



