KUALA LUMPUR - Prestasi Setia Unggul Sdn. Bhd. menyalurkan sumbangan kepada lebih 6,000 golongan memerlukan di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini.
Pengarah Urusannya, Mohammad Arrief Mu’min berkata, bantuan itu melibatkan pelbagai inisiatif termasuk sumbangan tunai, barangan keperluan serta program kebajikan yang memberi manfaat kepada asnaf di seluruh negara.
Menurutnya, antara pendekatan yang diambil adalah menyalurkan bantuan di kawasan berpenduduk padat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat manfaat.
"Di sesetengah PPR, jumlah penduduk mencecah kira-kira 10,000 orang, namun tidak semua pernah menerima bantuan.
"Kami mengambil inisiatif turun padang untuk membantu golongan yang masih tercicir," katanya ketika ditemui semasa Majlis Infak Zakat dan Sumbangan Aidilfitri di PPR Batu Muda di sini pada Rabu.
Mohammad Arrief berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Yayasan Prihatin Nasional dalam menyelaras agihan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Katanya, proses pemilihan penerima dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk beban tanggungan dan kos sara hidup yang tinggi, khususnya di kawasan bandar.
"Ada yang bergaji tetapi perlu menanggung keluarga besar, membayar sewa dan mempunyai anak orang kurang upaya.
"Ini antara perkara yang kita pertimbangkan sebelum mereka dikategorikan sebagai penerima," jelas beliau.
Selain itu, katanya, syarikat turut menaja program umrah melibatkan kira-kira 100 asnaf setiap tahun dengan nilai tajaan melebihi RM1 juta bagi satu sesi.
"Program umrah ini sudah dilaksanakan hampir sembilan tahun dan kita hadkan seorang sahaja bagi setiap keluarga supaya lebih ramai mendapat manfaat," tambah beliau.
Dalam pada itu, Mohammad Arrief berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan Aidilfitri.
"Walaupun tidak seberapa, kita harap ia dapat membantu mereka membeli keperluan seperti pakaian, makanan dan persiapan menyambut Hari Raya," katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Arrief turut menggesa lebih banyak syarikat korporat tampil menyumbang kepada golongan memerlukan.
"Sedikit daripada pendapatan kita, dikembalikan kepada masyarakat supaya dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan, khususnya dalam keadaan ekonomi mencabar," katanya.
Tambahnya, syarikat juga merancang menubuhkan yayasan sendiri dalam masa terdekat bagi memperluaskan lagi usaha kebajikan kepada masyarakat.
Sementara itu, seorang warga emas, Baharom Bidin, 77, berkata, sumbangan wang tunai dan barangan keperluan yang diterima dapat membantu meringankan beban serta menambah persiapan Aidilfitri.
Baharom Bidin yang menetap di Blok A berkata, sumbangan itu amat bermakna buat dirinya sekeluarga, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
Katanya, sebelum ini bantuan seumpama itu ada diterima, namun tidak secara tetap kerana ia bergantung kepada agihan mengikut blok dan pemilihan penerima.
"Saya bukan selalu mendapat bantuan kerana ia bergantung kepada pemilihan pihak yang menyalurkan sumbangan," katanya.
Baharom berkata, dia kini tinggal bersama isteri, seorang anak serta beberapa cucu dengan jumlah keseluruhan isi rumah seramai lapan orang.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan ini," jelas beliau.
Seorang lagi penerima, Syarifah Hashim, 70, berkata, bantuan seumpama itu bukan perkara baharu, namun tetap dinantikan setiap kali menjelang musim perayaan.
"Memang biasa ada bantuan, tetapi apabila ada pihak yang datang memberi, kami sangat bersyukur," katanya.
Syarifah berkata, dia kini tinggal bersama beberapa anak yang masih belum berkahwin, manakala sebahagian lagi sudah berkeluarga dan menetap berasingan.
"Saya rasa gembira kerana terpilih dan ia sedikit sebanyak dapat menambah persiapan raya," katanya.


