Agmo catat untung bersih RM619 juta dalam 4QFY23 didorong segmen pembangunan aplikasi mudah alih dan web
diyana
25/05/2023 - 09:43
KUALA LUMPUR 24 Mei – Agmo Holdings Berhad telah merekodkan keuntungan bersih RM619 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23) manakala pendapatan kumpulan berjumlah RM6.38 juta.
Tiada perbandingan laporan kewangan interim untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan kumpulan tersebut menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysa pada Ogos 2022.
Secara kumulatif pula, pendapatan Agmo telah melonjak 59.5% dalam tahun kewangan 2023 (FY23) kepada RM26.4 juta berbanding RM16.5 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat 6% kepada RM7.1 juta daripada RM6.7 juta.
Kumpulan itu berkata peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan segmen aplikasi mudah alih dan web sebanyak RM8.38 juta tahun ke tahun (YoY), serta segmen perkhidmatan langganan, pengehosan, sokongan teknikal dan penyelenggaraan yang menambah RM1.52 juta berikutan kejayaan pemerolehan projek dalam FY23.
Segmen pembangunan aplikasi mudah alih dan web kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kumpulan, menyumbang RM21.34 juta atau 81.% daripada jumlah pendapatan FY23 berbanding kira-kira RM12.96 juta (78.4%) dalam tahun kewangan 2022 (FY22).
Sementara itu, Agmo telah mengukuhkan kehadirannya di Malaysia yang kekal sebagai penyumbang pendapatan utama yang meningkat sebanyak RM9.1 juta tahun ke tahun, diikuti Thailand dengan peningkatan pada RM880,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong berkata kumpulan itu menyasarkan untuk kekal di barisan hadapan dalam industri dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan termaju yang sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Dengan kecerdasan buatan dan kenderaan elektrik (EV) menjadi semakin relevan dalam wacana transformasi digital hari ini, kami bersedia untuk mendapatkan peluang pertumbuhan dalam bidang ini di samping terus memanfaatkan kumpulan kepakaran dan sumber kami yang mendalam,” katanya.
Tambahnya, Agmo akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta mencari peluang pengembangan dalam pasaran EV serta memberi tumpuan kepada mengembangkan saiz pasaran, meneroka pasaran baharu dan rakan kongsi yang membolehkan kumpulan menyampaikan nilai.
“Industri penyelesaian digital di Malaysia dan Asia Tenggara sedang mengalami trajektori pertumbuhan teguh dan Agmo berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend ini dan mengukuhkan lagi perniagaan kami,” katanya. -DagangNews.com

