Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan

16 Jun 2023 • 3:48 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

SEREMBAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan, Seremban hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada jam 1 tengah hari di masjid tersebut diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain, iaitu individu yang mewakafkan masjid berkenaan.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Nikmat Kesihatan’ disampaikan Imam Besar Masjid, Mohd Nazri Abu Zarim dan turut mengimamkam solat Jumaat yang terdiri daripada lebih 2,000 jemaah.

image is not availableimage is not available

Imam Mohd Nazri dalam khutbahnya mengajak jemaah untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah seperti membanyakkan solat, zikir, selawat dan membaca Al-Quran sebagai terapi untuk jiwa, minda serta tubuh badan selain mengamalkan pemakanan seimbang, sihat dan halal.

image is not available
Kredit foto Mohd Syafiq Mohd Darus

Selesai solat Jumaat, Seri Paduka berkenan meluangkan masa bersalaman dengan jemaah selain mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim dan kanak-kanak.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melihat keindahan seni reka masjid berkenaan yang mula dibangunkan sejak 2015 dan dirasmikan pada 20 Sept 2019.

image is not available
Kredit foto Negeri Sembilan kini

Tarikan utama Masjid Sri Sendayan, terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari sini, dibina di tapak seluas 4.5 hektar dengan kos lebih RM100 juta adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.