Agong, Raja Permaisuri zahir takziah, jasa kru FDS akan sentiasa dikenang

9 Sep 2026 • 2:38 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah, jasa kru FDS akan sentiasa dikenang

KUALA LUMPUR – Jasa dan pengorbanan lima mangsa yang terkorban ketika menjalankan misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak disifatkan sebagai bakti yang akan terus dikenang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang juruterbang serta empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang maut dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, Sarawak, semalam.

Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga serta waris mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Al-Fatihah dan salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang juruterbang bersama empat petugas KKM disahkan maut selepas helikopter jenis BO-105 yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kematian kesemua mangsa berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta KKM.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan helikopter berkenaan berlepas dari Miri bagi menjalankan tugasan rasmi FDS.

Menurut beliau, pesawat itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa empat petugas kesihatan terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat.

Kesemua petugas terbabit sedang menjalankan tugas rasmi bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di kawasan pedalaman ketika insiden berlaku.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai nahas melibatkan helikopter BO-105 berkenaan daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.

Insiden berkenaan mencetuskan rasa dukacita susulan kehilangan serentak petugas kesihatan dan juruterbang yang sedang melaksanakan tanggungjawab membawa perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.

The post Agong, Raja Permaisuri zahir takziah, jasa kru FDS akan sentiasa dikenang appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved