
KUALA LUMPUR: Kejayaan Lim Kok Leong melakar sejarah sebagai pemain snuker negara pertama dinobatkan Juara Dunia di Kejohanan Snuker Amatur Dunia sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
Menerusi satu hantaran di Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kejayaan itu membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
Sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada Lim, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap pencapaian itu akan membakar semangatnya untuk terus berlatih dan bekerja keras dalam kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan cemerlang tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Lim Kok Leong dan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,“ menurut hantaran itu hari ini.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Antalya, Turkiye semalam, Lim menewaskan pemain Iran, Amir Sarkhosh pada perlawanan akhir dengan kemenangan 5-0 (68-63, 67-42, 78-0, 80-7, 73-54).
Pada Oktober lepas, Lim turut dinobatkan Juara Dunia Berpasukan Amatur bersama pasangan Moh Keen Ho.-Bernama

