Agrobank jadi saluran rasmi kutipan infaq Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

LocalBusiness & Finance
29 Dec 2025 • 4:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Agrobank jadi saluran rasmi kutipan infaq Majlis Agama Islam Negeri Sembilan image is not available haziq29/12/2025 - 16:51 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Dis – Agrobank memeterai kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi menjadikan akaun bank itu sebagai saluran rasmi kutipan infaq di Negeri Sembilan.

 

Dalam kenyataan, Agrobank berkata majlis pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) itu telah disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, di Negeri Sembilan baru-baru ini. 

 

Pada majlis sama, Dana Infaq Masjid Negeri Sembilan turut dilancarkan bagi menyokong pembangunan dan pemerkasaan institusi masjid serta rumah ibadat di negeri berkenaan.

 

Agrobank diwakili Ketua Pegawai Perniagaan, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil manakala MAINS diwakili Pengerusinya, Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sebagai institusi perbankan patuh Syariah, Agrobank komited menyokong pembangunan sosioekonomi ummah serta memperkasa pengurusan dana kebajikan Islam.

 

“Penggunaan akaun Agrobank sebagai akaun rasmi kutipan infaq ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada Agrobank dalam menguruskan dana awam secara profesional, telus dan berintegriti,” katanya.

 

Menurut beliau, dana sosial Islam bukan hanya tertumpu kepada zakat dan wakaf, malah turut merangkumi instrumen lain seperti infaq yang memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan komuniti serta kepentingan awam.

 

“Dana sosial Islam bukan sahaja terhad kepada zakat dan wakaf semata-mata, malah turut merangkumi instrumen lain seperti infaq yang berperanan penting dalam menyokong keperluan komuniti serta kepentingan awam,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Dana Infaq Masjid Negeri Sembilan yang dilancarkan itu akan dimanfaatkan khusus bagi pembangunan dan pemerkasaan institusi masjid.

 

“Ia akan dimanfaatkan khusus bagi pembangunan dan pemerkasaan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

 

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerjasama antara MAINS dan Agrobank berkenaan menyediakan saluran pembayaran yang lebih mudah, selamat dan efisien, termasuk melalui kaedah digital dan perbankan moden.

 

“Saya yakin langkah ini akan meningkatkan penyertaan masyarakat serta memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap tadbir urus dan pengurusan dana infaq yang dilaksanakan secara telus serta berakauntabiliti,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard