KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini melancarkan Agro Penjaja-i, sebuah inisiatif komprehensif yang direka khusus bagi memperkasa golongan penjaja dan usahawan mikro melalui akses kepada pembiayaan inklusif, latihan keusahawanan, literasi kewangan serta kemudahan digital dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi mereka.
Agro Penjaja-i menyokong agenda keterangkuman kewangan negara di samping memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi komuniti perniagaan kecil dan sektor tidak formal. Melalui inisiatif ini, para penjaja dan usahawan mikro berpeluang menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan istimewa, tertakluk kepada terma dan syarat, antaranya:
1. Kadar keuntungan istimewa hanya terpakai bagi pembukaan akaun Agro Tani Saudagar-i (untuk kategori individu) atau akaun Agro Perdana Saudagar-i (untuk kategori bukan individu) sahaja.
2. Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000
3. Kemudahan Kredit Cashline-i sehingga RM5,000
4. Pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan Kadar Keuntungan Istimewa serendah RM0.50 sebulan serta Laluan Khas (Green Lane). 5. Latihan percuma secara dalam talian dan fizikal bagi program Celik Kewangan dan/atau Celik Usahawan.
6. Latihan bimbingan dan pemantauan selama tiga (3) bulan.
7. Khidmat nasihat dan pembiayaan untuk pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah.
8. Pakej DuitNow QR SoundBox berharga serendah RM114.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan , Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu berkata, “Agro Penjaja-i merupakan satu pendekatan holistik Agrobank dalam memperkasakan komuniti penjaja dan usahawan mikro yang menjadi antara tulang belakang ekonomi negara. Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan inklusif, tetapi turut membantu mereka meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan serta keupayaan pendigitalan perniagaan.”
“Kami percaya pendekatan yang menyeluruh ini mampu membantu para penjaja meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan memperkukuh kelangsungan ekonomi mereka. Pada masa sama, Agro Penjaja-i turut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa perusahaan mikro yang lebih berstruktur, mampan dan berdaya tahan,” tambahnya.
Sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited terhadap pembangunan sektor agromakanan negara, Agrobank akan terus memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik komuniti usahawan tempatan menerusi penyediaan penyelesaian kewangan yang inklusif, progresif dan berteraskan prinsip Syariah.
Untuk maklumat lanjut mengenai Agro Penjaja-i, sila layari www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan
