Kerajaan jangka harga makanan meningkat hujung tahun - Mohamad

LocalFood
13 May 2026 • 6:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan jangka harga makanan meningkat hujung tahun - Mohamad
Mohamad (dua dari kiri) ketika melancarkan Agro Penjaja-i di Wisma Tani, Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA – Kerajaan menjangkakan tekanan kenaikan harga makanan akan terus berlaku pada separuh kedua tahun ini susulan kesan krisis tenaga global yang memberi impak kepada kos penghantaran, baja dan makanan ternakan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kesan kenaikan harga minyak dunia dijangka memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan termasuk sektor penternakan dan perikanan negara.

Menurut beliau, antara yang dibimbangi ketika ini ialah peningkatan kos bijirin ternakan dan soya yang menjadi bahan utama makanan ternakan ayam.

“Kita tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana kita tidak tahu masalah ini terutama sekali apabila berlaku kenaikan harga bahan makanan ayam khasnya jagung ternakan dan juga soya.

“Maka akan berlaku perubahan harga dan sebagainya. Kita akan pantau dengan rapi jika ada perubahan-perubahan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Agro Penjaja-i di Wisma Tani pada Rabu.

Beliau berkata, Malaysia masih bergantung kepada import bijirin ternakan dari pelbagai negara antaranya Brazil dan Argentina, manakala bekalan beras pula diimport dari Pakistan, India serta Bangladesh.

Katanya, walaupun tiada gangguan penghantaran ketika ini, kenaikan harga minyak dunia tetap memberi kesan kepada kos logistik dan bahan pertanian.

“Ia tidak ada gangguan, cuma apabila berlaku kenaikan harga minyak, kos penghantaran akan meningkat. Serupa juga dengan baja dan urea, apabila berlaku krisis tenaga ia akan melibatkan semua itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementerian sedang mengambil langkah awal memperkukuh sektor akuakultur bagi memastikan bekalan protein negara kekal stabil sekiranya hasil tangkapan laut berkurangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurutnya, usaha meningkatkan pengeluaran ikan ternakan dibuat lebih awal bagi menampung kemungkinan pengurangan hasil laut akibat peningkatan kos operasi nelayan.

“Daripada sekarang saya dan kementerian tumpu kepada akuakultur supaya dalam masa tiga hingga empat bulan lagi pengeluaran ikan ini akan menampung protein sekiranya berlaku kekurangan tangkapan laut,” katanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bekalan makanan asas ketika ini masih terkawal termasuk beras yang mencukupi sehingga hujung tahun.

Selain itu, katanya, berlaku juga lambakan sayur di Cameron Highlands sehingga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terpaksa mencari jalan bagi mengelakkan kerugian akibat lebihan bekalan di pasaran.

"FAMA terpaksa membuat intervensi membeli ataupun mencari penyelesaian kerana semua tanam mengejut, maka berlaku lambakan,” katanya.