AHB kekalkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit, pemegang unit terima RM236.41 juta bagi FY2026

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2026 • 9:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AHB kekalkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit, pemegang unit terima RM236.41 juta bagi FY2026 Image from: AHB kekalkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit, pemegang unit terima RM236.41 juta bagi FY2026 johardy01/10/2026 - 09:17 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) mengekalkan jumlah agihan pendapatan termasuk bonus sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (FY2026), dengan keseluruhan pembayaran RM236.41 juta yang memberi manfaat kepada lebih 82,000 pemegang unit.

 

Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bersama pengurus dananya, PHB Asset Management Berhad (PHBAM), mengumumkan agihan pendapatan akhir sebanyak 2.10 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, menurut kenyataan PHB bersama hari ini.

 

PHB selaku penaja dana turut mengisytiharkan edaran bonus sebanyak 0.40 sen seunit, menjadikan jumlah agihan bagi tempoh tersebut sebanyak 2.50 sen seunit. Bonus itu diberikan kepada pegangan sehingga satu juta unit pertama bagi setiap pemegang unit.

 

Selepas mengambil kira agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit yang diumumkan pada April 2026, jumlah agihan bagi FY2026 mencapai 5.00 sen seunit.

 

Agihan akhir itu membabitkan pembayaran RM120.13 juta. Agihan pendapatan tersebut adalah bersih selepas cukai dan zakat, membolehkan pemegang unit menerima jumlah penuh tanpa sebarang potongan atau tanggungan tambahan.

 

Pembayaran akan dibuat dalam bentuk unit AHB dan dikreditkan terus ke dalam akaun pemegang unit selewat-lewatnya pada 13 Oktober 2026.


 

solar
Mazuki Abdullah @ Muhammad


 

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata agihan bagi FY2026 mencerminkan ketahanan berterusan AHB dan kekuatan portfolio hartanahnya, disokong pendekatan pengurusan aset serta pelaburan yang berdisiplin.

 

“Prestasi AHB pada tahun ini membuktikan komitmen kami untuk terus memberikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit,” katanya.

 

Beliau berkata PHB terus memperkukuh kedudukan AHB sebagai instrumen pelaburan pilihan pelabur Bumiputera melalui pengurusan modal yang berhemat, strategi pelaburan dinamik dan pengoptimuman portfolio bagi memastikan pertumbuhan mampan serta penciptaan nilai jangka panjang.

 

Menurut Mazuki, penawaran tambahan sebanyak 400 juta unit AHB yang diumumkan baru-baru ini memperluas peluang kepada lebih ramai pelabur Bumiputera untuk mengambil bahagian dalam pelaburan hartanah komersial utama.

 

Beliau berkata AHB akan terus menyokong pembentukan kekayaan jangka panjang Bumiputera dan menjana nilai mampan kepada pemegang unit. Komitmen itu selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) untuk memperkukuh penyertaan ekonomi, pemilikan dan pembentukan kekayaan Bumiputera.

 

Agihan dilaburkan semula secara automatik

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM, Zulkifli Ishak berkata pihaknya kekal komited menguruskan AHB secara bertanggungjawab supaya dana itu terus menjadi pilihan pelaburan yang mudah diakses oleh pelabur Bumiputera.

 

Agihan pendapatan akan dilaburkan semula secara automatik, menambah pegangan unit pelabur dan membolehkan mereka berpotensi menikmati manfaat pengkompaunan dalam jangka panjang. Unit tambahan akan dikreditkan terus ke dalam akaun tanpa memerlukan permohonan berasingan.

 

Pelabur Bumiputera boleh melanggan AHB pada harga tetap RM1.00 seunit, dengan pelaburan minimum RM100 dan maksimum RM1 juta.

 

Langganan boleh dibuat di cawangan pengedar sah AHB seluruh negara, iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), AmBank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.

 

Sejak ditubuhkan pada 2010, AHB telah mengagihkan sejumlah RM2.7 bilion pendapatan kepada pemegang unit Bumiputera. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved