Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Sumatera Utara, Ajie Karim, Tular Terkantoi Sibuk Berhibur Ketika Rakyat Berjuang di Jalanan

LocalPolitics
3 Sep 2025 • 1:56 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

JAKARTA – Ketika rakyat Indonesia berhempas-pulas memperjuangkan keadilan di jalanan, Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sumatera Utara dari Parti Gerindra, Ajie Karim, menjadi tular kerana terkantoi sibuk berhibur di kelab malam.

Video berkenaan, yang asalnya dikongsi di Instagram Story peribadinya @ajiekarim_, memaparkan Ajie Karim menari bersama seorang wanita yang difahamkan isterinya. Rakaman itu menimbulkan kemarahan ramai kerana berlaku ketika rakyat sedang melakukan gelombang protes anti-kerajaan sejak 25 Ogos, termasuk demonstrasi besar-besaran di Jakarta dan bandar utama lain, yang turut dicemari tindakan kekerasan pihak berkuasa.

Perkara bertambah serius apabila penghantar makanan, Affan Kurniawan, dilaporkan terbunuh selepas dirempuh kenderaan pihak berkuasa, selain ratusan peserta protes cedera dan ditahan.

Ajie Karim mengesahkan dirinya adalah individu dalam video terbabit, namun menegaskan ia adalah rakaman dua tahun lepas yang asalnya dimuat naik oleh isterinya sebelum segera dipadamkan. Selain menari di kelab malam, terdapat juga rakaman yang menunjukkan Ajie membaling hadiah kepada seorang wanita.

“Kami memohon maaf jika ia menimbulkan kekecohan,” katanya sambil mengakui telah memberikan penjelasan kepada Parti Gerindra dan menyerahkan sepenuhnya kepada parti untuk membuat keputusan lanjut.

Setiausaha Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Parti Gerindra Sumut, Sugiat Santoso, mengesahkan Ajie akan dipanggil untuk disoal siasat.

“Kita akan siasat dan minta penjelasan terus daripada pihak berkenaan. Sekiranya ada pelanggaran yang dibuktikan, sekatan tegas akan dikenakan,” tegasnya.

Siapa Ajie Karim?

Ajie Karim lahir pada 3 Januari 1976 dan kini berusia 49 tahun. Namanya bukan asing dalam politik Sumatera Utara kerana telah berkhidmat sebagai wakil rakyat bertahun-tahun.

Beliau merupakan anggota DPRD Sumut bagi penggal 2019-2024 dan 2024-2029. Dalam Pilihan Raya Legislatif 2024, beliau bertanding di daerah pemilihan 12 dan memperoleh 23,053 undi, jumlah tertinggi di dapil tersebut. Beliau bersama 98 wakil rakyat lain dilantik pada 17 September 2024.

Dalam parti, Ajie Karim menjawat jawatan Penasihat Dewan Pimpinan Cabang (DPC) Kota Binjai, Parti Gerindra. Dari segi akademik, beliau memiliki Sarjana Ekonomi (S.E.) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (M.B.A.).

Pernah Dilaporkan Isteri ke Polis

Pada 2015, Ajie Karim pernah dilaporkan oleh isterinya, AS (35), atas tuduhan Keganasan Rumah Tangga (KDRT). AS mendakwa beliau diludah dan dilempar gelas kaca, dengan pertengkaran memuncak pada Mei 2015.

Ajie Karim menafikan tuduhan itu.

“KDRT seperti apa? Saya orang beragama, masak kita buat begitu? Itu fitnah,” tegasnya.

Tiada maklumat lanjut mengenai status kes tersebut.

Harta Kekayaan

Menurut Laporan Harta Kekayaan Penyelenggara Negara (LHKPN) bertarikh 31 Disember 2024, Ajie Karim memiliki kekayaan bernilai Rp6.937.942.901 (~RM1,783,000), termasuk tanah dan bangunan (~RM1,127,000), kenderaan dan mesin (~RM284,000), harta bergerak lain (~RM20,500), tunai dan setara tunai (~RM403,000), serta mempunyai hutang (~RM51,400).

Dengan tularnya video ini, perhatian rakyat kini tertumpu kepada sikap dan tanggungjawab wakil rakyat. Ia menjadi pengingat bahawa setiap pemimpin perlu menjaga imej dan amanah mereka, lebih-lebih lagi ketika masyarakat sedang menghadapi kesulitan dan memperjuangkan keadilan. – The Malaysian Update

Sumber : analisadaily, tribun jatim

The post Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Sumatera Utara, Ajie Karim, Tular Terkantoi Sibuk Berhibur Ketika Rakyat Berjuang di Jalanan appeared first on The Malaysian Update.