
Kota Kinabalu: Seorang ahli farmasi didenda RM5,000 atau penjara empat bulan kerana gagal memastikan jualan runcit racun dijalankan di bawah pemantauannya.
Michelle Chong mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus atas pertuduhan dihadapinya.
Chong, sebagai ahli farmasi berlesen di bawah Akta Racun 1952, melakukan kesalahan itu pada jam 12 tengah hari, 14 Februari 2024 di Pharmex Sdn Bhd 11, Jalan Hj Yaakub, Kg Air, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 16(3) Akta Racun itu memperuntukkan bahawa jualan racun mestilah dipantau secara peribadi oleh ahli farmasi berdaftar atau individu berlesen.
Sementara itu, seorang pekerja di farmasi sama turut didenda RM3,000 atau penjara dua bulan kerana menjual satu jalur Hovasc 10mg secara runcit yang mengandungi racun Amlodipine.
Amlodipine adalah racun Kumpulan B yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Chong Khyun Mui mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya selepas didapati menjual produk itu secara runcit kepada seorang lelaki tanpa preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar di tempat dan masa yang sama dengan Chong.
Pegawai Pendakwa Fashihatul Affandi dari Jabatan Farmasi tampil untuk pendakwaan.


