Ahli Parlimen Bentong kesal bantuan dibalas dengan kecurian

LocalPolitics
6 Jun 2026 • 12:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahli Parlimen Bentong kesal bantuan dibalas dengan kecurian
Young Syefura memuat naik rakaman CCTV memaparkan dua individu berada di hadapan premis ketika kejadian.

BENTONG - Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman kesal dengan tindakan seorang individu yang didakwa mencuri selepas menerima bantuan di pejabatnya pada Jumaat.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku ketika seorang pegawai di pejabatnya sedang menguruskan urusan bantuan kepada individu berkenaan.

Jelasnya, pihak pejabat kemudian menyerahkan bantuan kepada individu terbabit sebelum suspek disyaki mengambil barangan peribadi serta menggunakan kad bank milik pegawai yang bertugas untuk membuat pembayaran.

“Saya amat kesal dengan kejadian ini kerana bantuan telah diberikan, namun masih berlaku perbuatan mencuri oleh individu terbabit,” katanya pada Sabtu.

Young Syefura memaklumkan, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai yang terlibat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap urusan pegawai berkenaan dipermudahkan dan kejadian seperti ini tidak berulang serta tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap suspek,” katanya.

Terdahulu, beliau turut memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi lebih satu minit yang memaparkan dua individu berada di hadapan premis ketika kejadian.

Menerusi rakaman itu, salah seorang individu dilihat membawa beg plastik dipercayai mengandungi barangan bantuan yang baru diterima.