“Kuasa Raja Terhad Kepada Aspek Tertentu” – Tony Pua

LocalPolitics
20 May 2026 • 8:55 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: “Kuasa Raja Terhad Kepada Aspek Tertentu” – Tony Pua

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dalam satu hantaran di Facebook berpendapat setiap rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras dengan sistem raja berpelembagaan yang menjadi tunjang kepada pentadbiran negara.

Jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Malaysia mengamalkan sistem raja berpelembagaan dan kuasa raja berbeza mengikut negeri.

“Namun secara umumnya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat,” katanya.

Negara Ada Parlimen & DUN Yang Dipilih Rakyat Untuk Buat Undang-Undang

Tambahnya, negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggotai oleh wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat sendiri untuk membuat undang-undang serta keputusan tersebut.

Kesemua perkara tersebut selaras dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” jelasnya.

Terdahulu petang semalam (20 Mei), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan menitahkan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor khususnya ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara bagi menghayati makna Rukun Negara itu sendiri.

Titah baginda, langkah itu disarankan agar mereka menjadi rakyat yang menghormati kedaulatan Institusi Diraja dan menjaga adab kesopanan serta kesusilaan.

Kenyataan itu nyata mendapat perhatian hingga ada yang menyokong dan berpendapat seruan baginda wajar dijadikan sebagai pedoman bagi memastikan keharmonian dan perpaduan negeri dipelihara.

Baca Artikel Berkaitan: “Hayati Maknanya” – Sultan Selangor Titah Wong Siew Ki, Ronnie Liu Kunjungi Plak Monumen Rukun Negara

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Bertaubat” – Ini Respon Tony Pua Selepas Pemuda UMNO Buat Laporan Isu Sindir Lembaga Pengampunan

Baca Artikel Berkaitan: “Renungan Untuk Kita Semua” – Perkongsian Quote Tentang Ahli Politik Oleh Pejabat Sultan Selangor Curi Perhatian