Ahli Parlimen Jelutong Terbabit Kemalangan

17 Jun 2022 • 4:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan kenderaan yang dinaiki oleh RSN Rayer. - Gambar media sosial

HULU SELANGOR - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, terbabit kemalangan di Kilometer 425.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ketika beliau dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard milik Ahli Parlimen itu yang dinaiki enam orang, terbabit kemalangan pada kira-kira jam 8.55 pagi.

“Nahas tersebut dipercayai berlaku apabila Ford Kuga yang berhenti di lorong kanan dipercayai terhalang objek besar.

“Ketika Ford Kuga tersebut sedang menukar laluan ke tengah, muncul Toyota Alphard (milik Rayen) dari lorong kanan arah belakang yang ingin mengelak objek terbabit menyebabkan kenderaan itu turut mengubah haluan ke lorong tengah lalu melanggar bahagian belakang Ford Kuga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penumpang Toyota Alphard itu cedera ringan dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan itu, diminta menyalurkannya kepada pihak polis supaya tindakan lanjut dapat diambil. - Getaran, 17 Jun 2022.