Ahli perniagaan didakwa terima wang hasil aktiviti haram RM128.34 juta

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 3:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahli perniagaan didakwa terima wang hasil aktiviti haram RM128.34 juta

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tujuh pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM128.34 juta antara tahun 2012 dan 2013.

P Shailen, 58, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram dari akaun bank milik sebuah syarikat ke akaun bank sebuah lagi syarikat milik tertuduh.

Jumlah itu masing-masing RM4,949,965.99, RM4,749,966.01, RM5,299,966, RM2,299,964.69, RM29,696,330.51, RM38,281,920.56 dan RM43,060,576.35.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Subang Jaya, di sini antara 11 Julai 2012 hingga 20 November 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hafizuddin Salehuddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin mengguna pakai jumlah yang diberi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes lain, iaitu RM100,000 dengan seorang penjamin.

Awang Kerisnada menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun depan.

Pada Khamis, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki berusia 56 tahun, menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu ‘Joint Completion Guarantee’ di antara dua syarikat telekomunikasi bertarikh 21 Jun 2012.

Ia sebagai memenuhi syarat kelulusan bagi permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta daripada sebuah bank untuk membiayai projek ‘To develop a coastal network which consist of fibre optic network around Peninsular Malaysia’, mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah dokumen palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank, Jalan Sultan Ismail di sini pada 29 Jun 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenar untuk diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan kes.