
Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan didenda berjumlah RM12,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah pada Khamis atas kesalahan menipu seorang lelaki supaya memindahkan wang dengan alasan membantunya memperoleh gelaran kehormat negeri Pahang.
Datuk Ling How Ee, 39 mengaku bersalah di hadapan Hakim Jason Juga terhadap tiga pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama Ling didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan kerana dengan tidak jujur mendorong seorang lelaki bernama Dennis Chong Vui Sheng memindahkan RM2,500 ke akaun Bank UOB miliknya pada 19 April 2023, kononnya bagi pembelian aksesori pakaian emas istiadat untuk membantu memperoleh gelaran kehormat Dato’ dari Pahang, dakwaan yang dia tahu adalah palsu.
Bagi pertuduhan kedua Ling didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara kerana sekali lagi menipu Dennis agar memindahkan RM500 pada 20 April 2023 ke akaun yang sama atas alasan serupa.
Bagi pertuduhan ketiga Ling didenda RM6,000 atau tiga bulan penjara kerana mendorong Dennis memindahkan RM3,000 pada 17 Mei 2023, juga bagi tujuan palsu yang sama.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan HSBC di sini.
Seksyen 417 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi peguam George Ngui memohon hukuman ringan dan denda paling minimum dengan alasan bahawa Ling sudah bercerai dan mempunyai tanggungjawab kewangan ke atas anak lelakinya yang sedang melanjutkan pengajian di universiti.
Ngui berkata pendapatan Ling tidak stabil sejak tiga tahun lalu disebabkan keadaan ekonomi semasa dan dia juga mengalami kerugian kewangan yang besar.
Tambahnya lagi Ling juga menghadapi masalah obesiti, tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah serta saksi.
Sementara itu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat.
Beliau berhujah bahawa kes itu melibatkan kepentingan awam kerana ia membabitkan penyalahgunaan nama dan gelaran kehormat yang dikurniakan oleh Istana.
Norsham menambah kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan itu bersifat serius dan semakin berleluasa di seluruh negara.
Mahkamah turut memerintahkan agar pertuduhan asal terhadap Ling ditarik balik seperti yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Ling pada asalnya didakwa atas tiga pertuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana dia mengaku tidak bersalah di mahkamah sama tiga bulan lalu. Ling telah membayar denda tersebut.

