
KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM100,000, dua tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Lee Lun Teong, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai pengarah syarikat Menarez Development Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat tersebut berjumlah RM101,679.98 dengan memindahkannya daripada akaun bank syarikat itu kepada akaun bank peribadinya.
Pemindahan wang berkenaan didakwa dilakukan atas alasan ‘Director Fee’, sedangkan tiada bayaran sedemikian patut dibuat kepada tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat sama di Jalan Residen 3, Desa Parkcity, di sini, antara 1 November 2024 hingga 7 Disember 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua dan 20 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latiff tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin.
Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan mencadangkan jaminan pada kadar tinggi RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambah perlu menyerahkan pasport.
Peguam bela, Wan Shahrizal Wan Ladin mewakili Lun Teong memohon jaminan yang rendah sebanyak RM20,000 selain pasport tidak diserahkan memandangkan tiada risiko melarikan diri (flight risk).
“Sekiranya dibenarkan, saya rasa memadai untuk lapor diri di balai polis. Beliau seorang peniaga, perlukan pasport untuk perjalanan dan tiada sebarang elemen menunjukkan beliau berisiko melarikan diri,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan satu bulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 9 Disember ini. – KOSMO! ONLINE
The post Ahli perniagaan nafi pecah amanah lebih RM100,000 appeared first on Kosmo Online.






