sarah09/10/2026 - 14:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM101,679.98 milik syarikat pemaju hartanah, Menarez Development Sdn Bhd, pada 2024.
Lee Lun Teong, 44, yang ketika itu merupakan pengarah syarikat berkenaan, didakwa memindahkan wang daripada akaun syarikat ke akaun bank peribadinya sebagai “yuran pengarah”, walaupun tidak berhak menerima bayaran tersebut.
Menurut laporan The Edge, kesalahan itu didakwa dilakukan antara November 2024 hingga Disember 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan kemungkinan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latiff, tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan.
Beliau turut memohon supaya Lee menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam bela Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Lee pula memohon jaminan RM20,000 tanpa syarat penyerahan pasport, dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah membenarkan Lun Teong diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk penyerahan dokumen dan sebutan semula kes. - DagangNews.com






