Ahmad Faez fahami keperluan penduduk Labu

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 7:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ahmad Faez fahami keperluan penduduk Labu

MUKADIMAH

Jika berdasarkan data keputusan pilihan raya yang lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu adalah kerusi terbuka yang mana setiap parti yang bertanding mempunyai peluang seimbang untuk memenanginya.

Namun begitu, rekod berkhidmat kepada masyarakat di kawasan pasti memberikan kelebihan kepada ketiga-tiga calon yang bertanding kali ini bagi merebut sokongan daripada seramai 32,884 orang pemilih yang ada.

Menyedari hakikat itu, calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Labu, DATUK AHMAD FAEZ ABDUL RAZAK menegaskan bahawa kepercayaan rakyat tidak boleh diraih hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu dibina melalui khidmat yang konsisten sepanjang masa.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, HASIF IDRIS beliau berkongsi usaha yang telah dilaksanakan dan visinya untuk terus memacu pembangunan Labu.

 

PROFIL CALON PH DUN LABU

Nama: Datuk Ahmad Faez Abdul Razak

Umur: 41 tahun

Asal: Kampung Kering, Labu, Negeri Sembilan

Pendidikan: Diploma Rekaan Grafik, Kolej Karisma

Kerjaya: Ahli perniagaan

Jawatan politik: Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan

 

UTUSAN: Apakah inisiatif dan bentuk bantuan yang telah kerajaan negeri salurkan sepanjang datuk berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Labu?

AHMAD FAEZ: Sepanjang dua tahun lapan bulan saya berkhid­mat sebagai Penyelaras DUN Labu, pelbagai inisiatif kerajaan negeri berjaya disalurkan kepada rakyat dengan jumlah keseluruhan hampir RM960,000.

Bantuan ini meliputi pelbagai peringkat bermula daripada bantuan kelahiran bayi sehinggalah bantuan pendidikan ke institusi pengajian tinggi dan warga emas.

Selain itu, kerajaan negeri ba­nyak menambah baik infrastruktur dan turut menyalurkan bantuan ke rumah-rumah ibadat bukan sahaja masjid dan surau, malah kuil serta tokong bagi memastikan semua komuniti mendapat perhatian sewajarnya.

Apakah projek pembangunan utama yang sedang dan akan dilaksanakan di Labu?

Antara projek penting kerajaan Persekutuan di sini adalah pembinaan Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek (NLE) yang akan meng­hubungkan Taman Semarak, Nilai dengan Bandar Enstek.

Kesesakan jalan di kawasan LBJ yang sering dilalui kenderaan berat dijangka dapat dikurangkan apabila projek NLE siap, sekali gus mengalihkan trafik lori-lori ini daripada melalui kawasan kampung.

Selain itu, projek tebatan banjir di Sungai Batang Labu juga telah diluluskan. Reka bentuk projek telah siap dan pelaksana­annya dijangka bermula sekitar Julai atau Ogos 2027.
Projek-projek ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk daripada segi keselesaan, keselamatan dan pembangunan ekonomi.

Menerusi manifesto PH, ada cadangan pembinaan hospital baharu di kawasan ini?

Ya, antara perancangan pen­ting Kerajaan Persekutuan ialah pembinaan sebuah hospital baharu di Bandar Enstek. Ini adalah hasil usaha dan inisiatif yang diangkat oleh kerajaan negeri bagi kurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Projek ini diluluskan di Parlimen dan disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Pembinaan hospital baharu di koridor utara Seremban ini adalah amat penting.

Ia mengambil kira pembangunan rancak di kawasan ini yang secara langsung telah menyebabkan peningkatan populasi penduduk yang mendadak.

Bagaimana peluang pekerjaan untuk penduduk Labu?

Labu adalah antara kawasan utama dalam pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0, khususnya di Parcel A dan Parcel B. Sebahagian lain pula, Parcel C di Port Dickson.

Banyak pelabur mula mema­suki kawasan ini, termasuk pemaju seperti Matrix Concepts Hol­dings Bhd. dan beberapa pemaju lain. Apabila pembangunan siap sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 10,000 hingga 20,000 peluang pekerjaan baharu.

Keadaan ini sudah tentu membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak tempatan be­kerja berhampiran rumah mereka.

Mengenai tempat tinggal, apa tindakan kerajaan negeri untuk bantu rakyat memiliki rumah termasuk di Labu?

Kerajaan negeri menetapkan syarat yang jelas kepada pemaju yang ingin membangunkan tanah. Bagi projek pembangunan melebihi 10 ekar (empat hektar), pemaju diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya 20 peratus rumah Jenis A, 15 peratus rumah Jenis B dan 15 peratus rumah Jenis C. Hanya baki unit boleh dijual pada harga pasaran bebas.

Contohnya, keluasan tanah tu 100 ekar (40 hektar), pemaju boleh bina 1,000 unit rumah dan 500 unit daripadanya mestilah rumah mampu milik. Itu baru satu projek perumahan dan wajib dipatuhi.

Dasar ini memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina supaya rakyat, khususnya golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana, mempunyai peluang yang lebih baik untuk memiliki kediaman sendiri.

Sebagai Penyelaras DUN Labu, apa prestasi perkhidmatan yang telah datuk berikan?

Pendekatan turun padang secara konsisten melalui pelbagai program membolehkan pelbagai isu rakyat di kawasan ini diselesaikan.

Sejak diberi amanah sebagai Penyelaras DUN Labu, seba­nyak 498 program dilaksanakan menerusi pusat khidmat bagi mendekati masyarakat serta me­nyampaikan perkhidmatan yang terbaik.

Selain memberi perhatian kepada isu pendidikan dan ke­agamaan, terdapat beberapa masalah infrastruktur asas yang berlarutan sejak sekian lama turut berjaya diselesaikan, terma­suk isu bekalan elektrik di Kampung Gadong SC.

Sebelum ini, penduduk ber­depan catuan bekalan elektrik terutama pada waktu malam dan musim perayaan sehingga menjejaskan bekalan elektrik di seluruh kampung. Dalam tempoh tiga bulan sahaja, saya berjaya selesaikan isu bekalan elektrik di kampung itu dengan pembinaan sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Image from: Ahmad Faez fahami keperluan penduduk Labu
MESRA…Ahmad Faez Abdul Razak mengedarkan posternya ketika berkempen dari rumah ke rumah di DUN Labu, Negeri Sembilan. -IHSAN FACEBOOK

Ada masalah lain di kampung itu?

Semasa saya mula-mula dilantik sebagai Penyelaras DUN Labu, saya dapati Kampung Gadong SC (sering merujuk kepada Kampung Gadong Sendayan atau Sawah Cina) langsung tidak ada liputan talian te­lefon bimbit.

Hasil usaha bersama pihak berkaitan, dua menara telekomunikasi dibina dalam tempoh setahun bagi meningkatkan capaian komunikasi penduduk.

Saya juga merakamkan penghargaan kepada bekas imam yang mewakafkan tanahnya bagi pembinaan pencawang TNB dan sebuah lagi tapak bagi pembinaan menara telekomunikasi.

Tanah milik bekas imam itu yang berada di kawasan tinggi dikenal pasti sesuai untuk pembinaan menara telekomunikasi oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Selain itu, sebuah jambatan baharu turut berjaya dibina di kawasan Gadong.

Apakah tawaran yang mahu datuk berikan untuk pengundi?

Antara perancangan utama adalah membina sebuah kompleks sukan lengkap, dikenali sebagai Kompleks Sukan Labu.

Hari ini, Nilai dan Labu masih tidak ada fasiliti sukan yang lengkap seperti Kompleks Sukan Negeri di Paroi. Kompleks itu mampu menampung keperluan penduduk dari Seremban hingga Senawang. Terdapat pelbagai kemudahan seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, trek joging dan fasiliti sukan lain.

Jadi, inilah antara manifesto dan janji yang saya sendiri ingin bawa, khususnya untuk anak-anak muda. Saya mahu meng­angkat suara dan memenuhi ke­perluan golongan muda melalui penyediaan kemudahan sukan yang lebih baik.

Apa yang mendorong datuk untuk memberikan khidmat di Labu selepas ini?

Saya membawa aspirasi ini kerana saya membesar di Labu. Ibu bapa saya, nenek saya berasal dari sini. Kami ada rumah di sini dan anak jati kawasan ini.

Sebab itu, saya memahami keperluan masyarakat setempat dan mahu memastikan Labu terus membangun dengan kemudahan yang lebih baik untuk semua. – UTUSAN

The post Ahmad Faez fahami keperluan penduduk Labu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved