Ahmad Faez selesaikan isu elektrik, capaian internet di Labu

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ahmad Faez selesaikan isu elektrik, capaian internet di Labu

SEREMBAN – Rekod menyelesaikan pelbagai isu kemudahan asas yang telah berlarutan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu menjadi antara pencapaian yang diketengahkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ahmad Faez Abdul Razak dalam usaha meyakinkan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sepanjang me­njalankan tanggungjawab se­bagai penyelaras DUN Labu, beberapa masalah utama yang membelenggu penduduk berjaya diselesaikan menerusi kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan, termasuk isu gangguan bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi di Kampung Gadong SC.

Ahmad Faez berkata, masalah bekalan elektrik yang sering berlaku terutama ketika musim pe­rayaan telah membebankan penduduk selama hampir lima tahun sebelum akhirnya dapat diatasi dalam tempoh kira-kira tiga bulan selepas beliau mengemukakan perkara itu kepada pihak berkaitan.

Katanya, beliau hanya menge­tahui masalah berkenaan selepas dihubungi ketua kampung yang bertanyakan sama ada beliau boleh menyediakan sebuah generator (genset) bagi kegunaan penduduk ketika musim pera­yaan.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan perkara itu kerana kampung ini hanya terletak kira-kira 10 minit dari bandar, tetapi masih berdepan gangguan bekalan elektrik yang berulang setiap kali musim perayaan.

“Selepas berbincang dengan ketua kampung, saya dimaklumkan masalah itu telah berlarutan lebih lima tahun. Kami kemudian berusaha mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina sebuah pencawang elektrik baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada siri walkabout sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Kampung Gadong Jaya dan Kampung Kilang Padi, di sini semalam.

Menurut Ahmad Faez, hasil kerjasama TNB, Pejabat Daerah serta semua agensi berkaitan, pembinaan pencawang elektrik itu berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan, sekali gus menamatkan masalah yang sebelum ini gagal diselesaikan walaupun permohonannya telah dibuat sejak bertahun-tahun.

Selain isu bekalan elektrik, beliau berkata masalah liputan telekomunikasi di Kampung Gadong SC yang turut menjadi rungutan penduduk sejak sekian lama juga berjaya diselesaikan melalui pembinaan dua menara telekomunikasi.

Dalam pada itu, Ahmad Faez berkata pelbagai inisiatif kebajikan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Sembilan turut memberi kesan positif kepada penduduk di DUN Labu kerana bantuan di­salurkan kepada rakyat secara menyeluruh bermula dari pering­kat kelahiran sehingga warga emas.

Beliau berkata, penglibatan secara langsung dalam menyampaikan bantuan kerajaan kepada rakyat membolehkan beliau me­ngenali masyarakat setempat de­ngan lebih dekat serta memahami sendiri keperluan mereka tanpa mengira latar belakang politik.

“Ramai mengenali saya kera­na saya sendiri turun padang menyampaikan bantuan melalui pelbagai inisiatif kerajaan negeri. Bantuan ini diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman atau parti politik.

Pada PRN Negeri Sembilan, kerusi DUN Labu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez, calon Barisan Nasional, Siti Nur Umaira Hashim, dan penyandang kerusi daripada Bersatu, Mohamad Hanifah Abu Baker.

The post Ahmad Faez selesaikan isu elektrik, capaian internet di Labu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved