Ahmad Faizal bukan lagi Ketua Penerangan PN, Pengerusi PN Perak: Sumber

LocalPolitics
18 May 2025 • 5:33 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

image is not available

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu didakwa bukan hanya dipecat daripada jawatan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) tetapi juga Pengerusi PN Perak.

Bercakap kepada Scoop, sumber parti berkata, pemecatan itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat PN, Februari lalu.

“Pemecatan ini disebut oleh Presiden dalam mesyuarat PN sebelum ini (Februari) bahawa Faizal akan diganti dengan Radzi (Datuk Seri Radzi Jidin) untuk jawatan Ketua Penerangan PN.

“Cuma selepas itu belum ada pengumuman rasmi dan penyerahan watikah.

“Jawatan Pengerusi PN Perak dijangka akan digalas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Ketua bahagian Bersatu dan PAS di Perak pun mahukan Hamzah untuk mengganti Ahmad Faizal,” katanya hari ini.

Ditanya bila pengumuman rasmi akan dilakukan, sumber berkata, perkara itu perlu menunggu mesyuarat PN yang seterusnya diadakan.

“Tunggu tarikh mesyuarat PN seterusnya, kebiasaan dibuat dua bulan sekali, tapi sekarang Pengerusi di Australia jadi perlahan sedikitlah untuk panggil mesyuarat,” katanya.

Ditanya punca Faizal dipecat daripada jawatan, sumber berkata, ramai yang tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Ahmad Faizal.

“Antara faktor utama kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik, dia tidak ‘perform’.

“Sekarang dia nak minta ‘nyawa’ dikekalkan, jadi terpaksa bergantung dengan pemimpin dilantik ke dalam parti bukan melalui pemilihan, pemimpin ini menjadi talian hayat dia.

“Ahmad Faizal masih pegang jawatan Pengerusi Bersatu Perak, itu pun sebab Presiden ‘beri muka’ sahaja,” katanya.

Terdahulu desas desus mengenai kedudukan Ahmad Faizal sebagai Ketua Penerangan PN timbul apabila Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan mempengerusikan mesyuarat Jabatan Penerangan dan Komunikasi gabungan parti politik itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan PA, Ahmad Fadhli Shaari menerusi satu hantaran di laman Facebook yang menyatakan mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Radzi dengan tertera perkataan ‘Ketua Penerangan PN’.

Ahmad Faizal sebelum ini juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Bersatu dan PN Negeri Sembilan namun digantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker pada Januari 2024. - 18 Mei, 2025