
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan beliau yang mencadangkan supaya Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Radzi Jidin menggalas jawatan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN).
Mendedahkan perkara itu kepada Scoop, Ahmad Faizal atau lebih mesra dengan panggilan Peja berkata, beliau juga masih lagi Pengerusi PN dan Bersatu Perak.
Beliau berkata, pihak yang menggunakan nama sumber itu berniat jahat dengan dakwaan beliau digugurkan daripada jawatan terbabit disebabkan prestasi.
“Ini cerita tahun sudah, bukan tahun ini, sumber parti itu berniat jahat, kenapa tidak sebut sahaja nama, kenapa perlu dipetik sebagai sumber.
“Sumber itu tiada ‘class’, cakaplah pasal fakta, apa masalahnya, bukannya mendedahkan rahsia parti.
“Saya masih Pengerusi PN dan Bersatu Perak, itu fakta,” tegasnya hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman selepas pemilihan Bersatu, dengan menggunakan kuasanya dalam PN, beliau membuat sedikit perubahan mengikut Perlembagaan PN dan Bersatu.
”Jawatankuasa-jawatan ini adalah hak prerogatif Pengerusi PN, beliau boleh lantik Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya, setiausaha dan bendahari.
“Bila berlaku perubahan jawatan dalam Bersatu, Timbalan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, jadi Timbalan Presiden Bersatu itu automatik menjadi Timbalan Pengerusi PN sebab Presiden Bersatu adalah Pengerusi PN.
“Apabila Setiausaha Agung Bersatu dah automatik dilantik Timbalan Pengerusi PN, jadi kenalah ganti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik menggantikan Hamzah, Azmin sebelum itu Ketua Penerangan, jadi jawatannya diberikan kepada saya.
“Namun kerana banyak lagi tanggungjawab, saya tanya Pengerusi boleh tak saya buat kerja-kerja lain selain ketua penerangan, saya cakap dalam parti kita ini lebih sesuai kalau jawatan itu diberi kepada Datuk Seri Radzi Jidin.
“Saya yang mencadangkan Radzi, kemudian perbincangan dilakukan semula dan oklah selepas itu Tan Sri (setuju) dan kata macam manapun saya perlu ada dalam PN, saya cakap lantiklah sebagai Ahli Majlis Tertinggi PN,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, semasa memegang jawatan Ketua Penerangan PN, beliau sempat menubuhkan Jabatan Penerangan dan Komunikasi gabungan politik itu.
“Sebab sebelum ini (penerangan parti komponen) masing-masing kerja secara silo. Jadi Radzi kini meneruskan usaha itu, ia berjalan baik dan tiada apa-apa masalah,” katanya.
Beliau berkata, naratif yang cuba dimainkan sumber berkenaan itu seolah-olah cuba menggambarkan beliau melakukan jenayah yang besar.
“Mesyuarat PN pada Februari lalu itu yang pertama untuk tahun ini. Ikut perlembagaan PN kena mesyuarat sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.
“Dalam perjumpaan (mesyuarat) itu, mengesahkan apa yang saya minta (mencadangkan Radzi) dan diumumkan sebelum ini, mesyuarat PN akan datang akan endorse keputusan itu,” katanya.
Terdahulu desas desus mengenai kedudukan Ahmad Faizal sebagai Ketua Penerangan PN timbul apabila Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu dilaporkan mempengerusikan mesyuarat Jabatan Penerangan dan Komunikasi gabungan parti politik itu.
Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan PA, Ahmad Fadhli Shaari menerusi satu hantaran di laman Facebook yang menyatakan mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Radzi dengan tertera perkataan ‘Ketua Penerangan PN’.
Setakat ini, PN belum membuat pengumuman rasmi berhubung pertukaran jawatan membabitkan Faizal dan Radzi. - 18 Mei, 2025
The post ‘Saya yang cadang Radzi sebagai Ketua Penerangan PN, masih Pengerusi PN dan Bersatu Perak’, kata Faizal Azumu appeared first on Scoop.
