
PETALING JAYA – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kekhilafan kata-katanya termasuk penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantun ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi sepucuk surat bertarikh 17 November 2026 yang dialamatkan kepada Anwar dan dicop diterima Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Menerusi surat berkenaan, Ahmad mengakui kekhilafan tersebut tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran selain kesal atas ketidakselesaan yang timbul.
“Dengan penuh hormat dan rendah hati, saya memohon maaf kepada YAB Dato’ Seri atas kekhilafan kata-kata saya, termasuk pantun yang dilafazkan ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada 16 November 2026.
“Saya mengakui bahawa pemilihan kata tersebut tidak sesuai dengan tanggungjawab saya sebagai Anggota Pentadbiran dan kesal atas ketidakselesaan yang timbul,” katanya menerusi surat berkenaan.
Menurut Ahmad, beliau sememangnya gemar menggunakan pantun dalam penyampaian ucapan, namun menjelaskan pantun kontroversi itu tidak terkandung dalam teks penggulungan yang disediakan.
Katanya, pantun tersebut dilafazkan secara spontan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
“Saya sememangnya gemar berpantun dalam penyampaian ucapan. Pantun tersebut tidak terkandung dalam teks penggulungan dan disampaikan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
“Walau bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata tersebut dan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan telah saya tarik balik di Parlimen,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri akan kekal sehingga berakhirnya penggal pentadbiran semasa.
“Saya tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri. Sokongan saya terhadap Kerajaan dan kepimpinan YAB Dato’ Seri kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
“Sebagai Anggota Pentadbiran, saya akan terus melaksanakan amanah dengan profesional serta menjaga ketertiban bahasa dan semangat kerjasama ketika mewakili Kerajaan,” katanya.
Menariknya, Ahmad turut menyelitkan serangkap pantun pada penghujung surat tersebut sebagai tanda permohonan maaf kepada Anwar.
“Bunga rimbun, cantik tercipta,
Berakar umbi, menambah seri,
Maaf dipohon, saya pinta,
Kepada YAB, Perdana Menteri.”
Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian itu dilaporkan berkata, pemansuhan tol adalah janji Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat janji terbabit.
Beliau kemudian membaca pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu ‘kena kencing’ dengan ungkapan yang bermaksud ditipu.– KOSMO! ONLINE
The post Ahmad Maslan mohon maaf kepada Anwar, tarik balik pantun ‘kencing’ appeared first on Kosmo Online.






