
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Isnin (16 November) lalu, persidangan Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan telah menyelitkan pantun sewaktu menjawab soalan dari Ahli Parlimen (MP) Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berhubung isu penghapusan tol.
Apa yang menjadi perhatian adalah pantun terselit perkataan ‘kencing’ yang dikemukakan oleh Ahmad Maslan yang juga MP Pontian itu didakwa berbentuk sindiran sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan oleh MP Jelutong, RSN Rayer.
Malah, isu tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang lain sehingga ada yang mendesaknya untuk meletak jawatan jika tidak bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Maslan Mohon Maaf Kepada Anwar, Akui Pemilihan Kata Dalam Pantun Tak Sesuai
Terbaharu, Ahmad Maslan telah mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesilapan penggunaan kata-katanya sewaktu Sesi Penggulungan Kementerian Kerja Raya pada Isnin lalu.
Menerusi surat rasmi yang bertarikh 17 November dan dicop terima oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini (18 November), Ahmad Maslan mengakui pemilihan kata-kata dalam pantun yang dilafazkan adalah tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Anggota Pentadbiran Kerajaan.
Jelasnya lagi, pantun itu juga tidak terkandung dalam teks penggulungan asal dan ia dinyatakan olehnya bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen mengenai isu pengurangan dan penghapusan tol.
“Walau bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata tersebut dan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan telah saya tarik balik di Parlimen,” katanya, lapor Astro Awani.
Ahmad Maslan Zahir Komitmen & Akan Beri Sokongan Penuh Terhadap Kerajaan Perpaduan
Pada masa sama, dia turut menzahirkan komitmen dan akan memberi sokongan penuh terhadap Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
“Saya tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri. Sokongan saya terhadap Kerajaan dan kepimpinan YAB Datuk Seri kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
“Sebagai Anggota Pentadbiran, saya akan terus melaksanakan amanah dengan profesional serta menjaga ketertiban bahasa dan semangat kerjasama ketika mewakili Kerajaan,” katanya.
Surat permohonan maaf itu turut diakhiri dengan serangkap pantung yang ditujukan kepada Anwar yang berbunyi:
Bunga rimbun, cantik tercipta,
Berakar umbi, menambah seri,
Maaf dipohon, saya pinta,
Kepada YAB, Perdana Menteri.
Terdahulu, pantun Ahmad Maslan mula menjadi kontroversi apabila didakwa berbunyi sindiran sewaktu dia menjawab mengenai beberapa janji yang tidak ditunaikan termasuk isu penghapusan tol.
Antara MP yang mendesak perletakan jawatan Ahmad Maslan berhubung isu terbabit adalah
- Datuk Seri Aminuddin Harun (MP Port Dickson)
- Aminolhuda Hassan (MP Sri Gading)
- Khoo Poay Tiong (MP Kota Melaka)
- Mohd Sany Hamzan (MP Hulu Langat)
Malah, ia turut disifatkan sebagai biadab oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
“Bagi saya, itu satu tindakan yang biadab. Kalau dia ada prinsip, dia ada maruah, dia perlu undur diri sebagai Timbalan Menteri.
“Bukan sekadar kepada Datuk Seri Ahmad Maslan, tetapi termasuk mana-mana menteri ataupun mana-mana pihak yang duduk dalam kerajaan hari ini kalau dia tidak boleh lagi terima hakikat realiti Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri dan tidak boleh turut sama dalam agenda dibawa Perdana Menteri maka mereka ini perlu mengundur dengan terhormat,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Namun jelas Ahmad Maslan, pelantikannya sebagai Timbalan Menteri adalah atas cadangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Baca Artikel Berkaitan:
“Presiden UMNO Tak Minta Saya Letak Jawatan” – Ini Respon Ahmad Maslan Selepas Kecoh Pantun ‘Kencing’ Di Parlimen [Video]






