Ahmad Zahid cadang MPP diberi kursus pendedahan kepimpinan politik

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 7:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahmad Zahid cadang MPP diberi kursus pendedahan kepimpinan politik
Ahmad Zahid (tengah) bersama sebahagian mahasiswa selepas dialog pada program Program Apa Khabar Siswa? di Johor di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) pada Khamis.

PASIR GUDANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diberikan pendedahan berkaitan kepimpinan dan politik menerusi kursus khas.

Menurutnya, kursus berkenaan bertujuan memberi kefahaman kepada pemimpin pelajar mengenai landskap politik negara sekali gus membentuk kepimpinan yang lebih matang.

"Dalam situasi yang begitulah, saya harap MPP, bawalah seluruh MPP dengan kebenaran Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir).

"Ya, kami membiayai agar mereka dapat memasuki kursus kepimpinan agar mereka dapat terdedah di dalam bidang politik untuk mencorakkan warna politik sebenar di tanah air," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan bersedia menyediakan kursus berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada MPP di seluruh negara.

"Jika ada permintaan daripada mereka, kita sediakan kursus berkenaan.

"Kita telah mulakan inisiatif itu dalam kalangan pelajar universiti menerusi Sekolah Politik UMNO (SPU)," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara menyarankan pekerja dalam sektor ekonomi gig diberi peluang mengikuti peningkatan kemahiran dan latihan semula kursus TVET.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 1.21 juta tenaga kerja dalam sektor tersebut dan sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai latihan kemahiran yang mencukupi.

"Cadangan itu telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi membolehkan golongan berkenaan mengikuti program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).

"HRD Corp mempunyai peruntukan kira-kira RM3 bilion untuk mengadakan kursus-kursus upskilling dan reskilling ini.

"Saya akan menyusun perkara ini bersama Menteri Sumber Manusia serta mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan supaya dana yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat dapat turut dimanfaatkan oleh mereka yang terlibat dalam ekonomi gig.

"Ini akan membolehkan kita mempunyai tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan kita tidak mahu mereka menamatkan kerjaya hanya sebagai pemandu dalam sektor gig ekonomi," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved