Ahmad Zahid gesa sayap UMNO lakukan perubahan

Politics
11 May 2023 • 10:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid ketika tiba di Menara Dato' Onn, WTCKL sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua sayap dalam parti Melayu itu bersama-sama membina semula parti.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO mesti mencorakkan parti di mana generasi baharu akan bangkit dan melakukan perubahan.

“Puteri, Pemuda, Wanita atau kita yang menjadi kumpulan veteran, kita mesti bersama-sama.

"Kita menghormati yang lama tetapi kita menyayangi yang lama.

"Saya harap generasi baharu Pemuda, Puteri, Wanita bersedia dari sekarang, jangan lagi menggunakan kaedah konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di Surau Ar Rahman, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, semua ahli parti Melayu perlu mempercayai bahawa UMNO masih relevan.

"Selama 77 tahun lalu, pada tarikh yang sama, UMNO menyatukan pelbagai pertubuhan bukan untung. Jangan lupa sejarahnya.

"Semangat nasionalisme tidak ditiupkan oleh jalanan tetapi oleh istana. Di WTC ini, kita berkumpul, tetapi dalam tujuh dekad ini, kita telah bergerak dalam pelbagai gelombang.

"UMNO berdepan pelbagai fitnah sehingga kita terperangkap dalam Pilihan Raya Umum ke-15, namun UMNO masih relevan," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan tidak pernah meninggalkan Islam, malah ia memperkasakan Islam di negara ini.

“Selagi kita berada di bawah payung besar, kita perlu akur bahawa perlembagaan negara kita kekal kukuh,” ujarnya.

Sambutan ulang tahun ke-77 UMNO dimulakan dengan solat Maghrib dan bacaan surah Yasin.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Mohammad Hassan yang tiba pada 6.05 petang; Naib Presiden UMNO, Datuk Johari Ghani dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.