Ahmad Zahid Harap Pengamal Media Terus Pegang Etika, Ucap ‘Terima Kasih Wartawan’,

LocalPolitics
28 May 2023 • 9:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebahagian petugas media yang hadir pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dan Pelancaran Tabung [email protected]. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengamal media supaya terus berpegang kepada etika kewartawanan, tidak kira platform dinaungi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan berita dilaporkan adalah sahih, memandangkan ketika ini pelbagai berita palsu tular yang cukup membimbangkan.

“Saya percaya dunia kewartawanan pada hari ini cukup berbeza apabila wujud saingan diberikan media dalam talian.

“Namun dalam apa juga platform, etika kewartawanan perlulah terus dipegang, bagi memastikan berita disampaikan adalah laporan sahih kerana ketika ini penularan berita palsu cukup membimbangkan,” katanya menerusi Facebook.

image is not available
Ahmad Zahid (kiri) turut hadir bersama Anwar pada majlis perasmian HAWANA 2023. - Gambar oleh Azim Rahman

Justeru, beliau berkata, amalan etika kewartawanan yang dipraktikkan boleh mengekang isu berita palsu.

“Secara peribadi, saya begitu dekat dengan media khususnya rakan-rakan wartawan ketika saya menjadi Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008),” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, Perak.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Mengulas mengenai HAWANA, Ahmad Zahid berkata, penganjuran acara itu dilihat hari istimewa untuk pengamal media.

“Sempena Hari Wartawan Nasional ini saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang bergelar wartawan.

“Terima kasih atas segala pelaporan diberikan kepada saya sejak dahulu sehingga ke hari ini,” katanya.

Malah, beliau turut berharap pengamal media bersemangat meraikan tema HAWANA 2023, iaitu ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ yang benar-benar didukung semua pengamal media.

“InsyaAllah saya nantikan kehadiran dan laporan rakan media dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 Jun depan,” katanya. – Getaran, 28 Mei 2023