
PETALING JAYA – Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama dalam menangani isu kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan yang memberi kesan langsung kepada kesihatan dan kehidupan rakyat kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara isu utama dibincangkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Wakil Presiden Republik Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, hari ini.
Menurut beliau, pertemuan selama kira-kira 45 minit itu turut menyentuh keperluan memperkukuh kerjasama pengurusan bencana antara Malaysia dan Indonesia.
“Isu jerebu memberi kesan langsung kepada rakyat kedua-dua negara, khususnya terhadap kesihatan, kualiti udara dan kehidupan harian.
“Justeru, isu ini perlu ditangani secara lebih tersusun dan menyeluruh melalui pencegahan awal, perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta tindakan bersama yang lebih berkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan perdesaan.
Katanya, kerjasama berkenaan boleh diperkasa menerusi perkongsian kepakaran, pembangunan bakat dan peluasan peluang ekonomi kepada rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia dan Indonesia merupakan dua negara serumpun yang sentiasa memilih jalan musyawarah dan kerjasama.
“Semangat inilah yang akan terus menjadi asas untuk kita merungkai setiap cabaran bersama demi melindungi rakyat serta memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rantau ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Ahmad Zahid jumpa Gibran bincang masalah jerebu appeared first on Kosmo Online.





