Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Onn Hafiz dilantik Menteri Besar Johor

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 11:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Onn Hafiz dilantik Menteri Besar Johor
Onn Hafiz pada Ahad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor hari ini. 

Menerusi hantaran di Facebook Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menyifatkan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada Onn Hafiz sebagai satu amanah besar untuk terus memimpin Johor lebih cemerlang, dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat, kestabilan politik serta pembangunan yang mampan.

"Insya-ALLAH, saya yakin…dengan kepimpinan, pengalaman dan iltizam yang dimiliki, Johor akan terus melakar lebih banyak kejayaan demi manfaat seluruh Bangsa Johor.

"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memikul amanah ini, serta terus memimpin Johor Darul Ta’zim ke arah yang lebih gemilang. Tahniah dan selamat menjalankan amanah,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Beliau yang juga Pengerusi BN Johor, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan itu dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Semalam, BN memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas mencatatkan kemenangan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved