Anwar Ucap Tahniah Kepada BN, Komited Perkasa Pembangunan Johor

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 10:05 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Anwar Ucap Tahniah Kepada BN, Komited Perkasa Pembangunan Johor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kejayaan mengekalkan mandat untuk menerajui Kerajaan Negeri Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menegaskan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat itu merupakan satu amanah besar yang wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat Johor.

“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya.

Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat Johor yang telah melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya yang telah bertungkus-lumus dan memberikan usaha terbaik sepanjang tempoh kempen.

Mengulas mengenai hala tuju Pakatan Harapan (PH), Anwar menjelaskan bahawa tekad gabungan itu kekal jelas, di mana semua calon Harapan—sama ada yang menang mahupun tewas—telah diminta untuk terus konsisten berkhidmat dan membawa suara rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan komitmen penuh bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat di negeri Johor sentiasa diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu sidang media mengesahkan bahawa BN berjaya memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat jam 10.32 malam.

Berdasarkan pengumuman rasmi setakat waktu tersebut, Pakatan Harapan memenangi dua kerusi, manakala parti-parti lain seperti Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta calon-calon Bebas dilaporkan gagal meraih sebarang kerusi.

— BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved