amree11/11/2026 - 11:30 ADIPEC 2026 yang berlangsung pada 2 hingga 5 November di ADNEC Centre, Abu Dhabi, menghimpunkan menteri tenaga, pemimpin industri, syarikat minyak dan gas, syarikat teknologi, pelabur serta pakar tenaga dari seluruh dunia. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov — Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sering dikaitkan dengan peningkatan penggunaan elektrik bagi menggerakkan pusat data (DC) kini diunjur mampu mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan kos operasi dan mempercepat peralihan kepada tenaga bersih dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Penubarthi berkata, meskipun operasi AI memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi, pemilihan teknologi dan sistem yang tepat mampu mengurangkan keperluan pemprosesan data sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.
Menurut beliau, terdapat tiga pendekatan utama untuk mencapai matlamat tersebut, iaitu penggunaan teknologi AI yang bersesuaian di DC, pelaksanaan sistem AI secara lebih cekap dalam perusahaan serta peralihan kepada sumber tenaga bersih.
"Perbezaan kos dan penggunaan tenaga bukan hanya bergantung kepada model AI yang digunakan, tetapi turut dipengaruhi reka bentuk serta kaedah pelaksanaan rumusan teknologi berkenaan bagi menghasilkan keputusan lebih tepat," katanya.
Saravan menjelaskan demikian ketika mengulas potensi AI membantu Malaysia dan ASEAN pada Persidangan Abu Dhabi International Petroleum Exhibition and Conference (ADIPEC) 2026 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengulas lanjut, AI turut berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan grid elektrik, melaksanakan penyelenggaraan ramalan serta mengoptimumkan pengeluaran tenaga bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data dan sektor industri.

Teknologi itu juga ujarnya, berpotensi membantu menangani cabaran mengintegrasikan tenaga boleh baharu ke dalam sistem bekalan elektrik, khususnya dalam memastikan keseimbangan antara penawaran dan permintaan tenaga.
"Pada masa sama, saya berpandangan penyelarasan dasar kerajaan berkaitan tadbir urus AI serta pembangunan infrastruktur tenaga amat penting bagi memastikan pertumbuhan teknologi berkenaan seiring dengan keperluan bekalan elektrik," jelas Saravanan.
Beliau yang mewakili AIQ, syarikat teknologi dan kecerdasan buatan yang berpangkalan di Abu Dhabi, optimis AI akan memainkan peranan lebih besar dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Tambahnya, kecekapan operasi DC juga berpotensi dipertingkatkan menerusi penggunaan seni bina teknologi yang tepat serta sokongan sumber tenaga bersih.
"AI sememangnya menggunakan tenaga yang besar, tetapi saya percaya teknologi ini juga akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk mengoptimumkan keperluan tenaga pada masa hadapan," katanya.
ADIPEC 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 5 November di ADNEC Centre, Abu Dhabi menghimpunkan menteri tenaga, pemimpin industri, syarikat minyak dan gas, syarikat teknologi, pelabur serta pakar tenaga dari seluruh dunia. - DagangNews.com



