
TEKNOLOGI terkini terutama kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar membantu menghasilkan kandungan digital atau memudahkan urusan harian, malah mula menjadi ‘senjata’ baharu dalam arena sukan profesional.
Pada FIFA World Cup 2026, teknologi AI memainkan peranan penting di belakang tabir apabila kesemua 48 pasukan bertanding menggunakan FIFA AI Pro bagi menganalisis prestasi sendiri dan lawan sebelum setiap perlawanan.
Dibangunkan menerusi kerjasama FIFA dan Lenovo, FIFA AI Pro merupakan platform analitik pintar yang mampu memproses jutaan data permainan, menganalisis lebih 2,000 metrik bola sepak dan menghasilkan laporan taktikal lengkap hanya dalam beberapa minit.
Teknologi itu sekali gus memberi peluang kepada semua negara, termasuk pasukan bukan pilihan, menikmati keupayaan analisis yang sebelum ini hanya mampu dimiliki pasukan elit.
Menurut Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsène Wenger, penggunaan FIFA AI Pro menandakan perubahan besar dalam kaedah analisis perlawanan kerana teknologi itu membolehkan jurulatih dan penganalisis memberi lebih tumpuan kepada strategi berbanding tugasan teknikal.
“Kejayaan FIFA AI Pro pada FIFA World Cup 2026 menandakan permulaan era baharu dalam analisis dan persediaan perlawanan.
“Dengan mengautomasikan proses pencarian, penyusunan serta pentafsiran sejumlah besar data perlawanan dan kandungan video, pakar kini dapat mengurangkan masa untuk mencari maklumat atau memotong rakaman secara manual.
“Sebaliknya, mereka boleh memberikan tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting iaitu mendapatkan pemahaman mendalam tentang prestasi, membuat keputusan taktikal yang lebih tepat serta membantu pasukan memperoleh kelebihan daya saing,” katanya.
Tambahnya, platform itu dibangunkan menggunakan Lenovo AI Factory yang dikuasakan oleh platform xIQ Agent iaitu sistem berbilang ejen AI yang bertindak sebagai Knowledge Super Agent.
Teknologi tersebut mampu meneliti jutaan titik data, menganalisis lebih 2,000 metrik permainan dan menghasilkan laporan, graf interaktif, animasi serta simulasi tiga dimensi dalam tempoh yang singkat.

Berbeza dengan sistem analitik konvensional, FIFA AI Pro dibangunkan berasaskan Football Language iaitu kerangka bahasa khas yang membolehkan AI memahami istilah teknikal bola sepak, sinonim, pertanyaan dalam pelbagai bahasa serta konteks taktikal seperti seorang penganalisis profesional.
Kata Wenger lagi, sistem ini juga boleh melaksanakan pengiraan secara masa nyata, menggabungkan pelbagai metrik dan memberikan cadangan berdasarkan situasi sebenar di atas padang.
“Selain paparan statistik, FIFA AI Pro turut menyediakan klip video, widget visual dan rekreasi tiga dimensi yang membolehkan jurulatih menilai setiap pergerakan pemain dari pelbagai sudut.
“Pendekatan itu memudahkan sesi penerangan taktikal dan membantu pemain memahami strategi dengan lebih jelas,” ujarnya.
Kongsinya lagi, keberkesanan teknologi tersebut turut terserlah apabila beberapa pasukan bukan pilihan mencipta keputusan mengejutkan sepanjang kejohanan.
Antaranya Cape Verde yang mengikat Sepanyol sebelum tewas kepada Argentina dalam masa tambahan, Curaçao yang seri dengan Ecuador, Republik Demokratik Congo mengikat Colombia dan Portugal, manakala Paraguay menyingkirkan juara empat kali, Jerman.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Solutions & Services Group Lenovo, Ken Wong berkata, FIFA AI Pro membuktikan komitmen syarikat itu untuk memastikan manfaat AI dapat dinikmati oleh semua pasukan.
“Di Lenovo, kami komited terhadap visi ‘Smarter AI for All’ dan FIFA AI Pro merupakan manifestasi kepada komitmen tersebut.
“Kami menyediakan sumber serta alat analitik berasaskan AI yang sama canggih kepada semua pasukan yang bertanding di FIFA World Cup.
“Pendekatan ini membantu mewujudkan medan persaingan yang lebih seimbang apabila pasukan-pasukan pencabar kini mampu bersaing dengan pasukan pilihan di pentas bola sepak terbesar dunia,” kongsinya.
Jelasnya lagi, kemunculan FIFA AI Pro membuktikan bahawa AI kini bukan sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi aset strategik dalam bola sepak moden.
Dengan keupayaan menganalisis data berskala besar dan menghasilkan pandangan taktikal secara pantas, teknologi ini dijangka menjadi standard baharu dalam pembangunan prestasi pasukan bola sepak pada masa hadapan.
The post AI mudahkan analisis data, prestasi pasukan bola sepak appeared first on Kosmo Digital.

![[VIDEO] Pemancing luah isi hati cipta lagu Rindu di Jambatan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-04-at-1.48.41-PM-1-1024x644.jpeg)

