
POKOK menjadi sebahagian penting dalam landskap bandar kerana bukan sahaja memberikan teduhan dan kehijauan, malah membantu mengurangkan suhu persekitaran dan meningkat kualiti udara.
Namun, di sebalik manfaat tersebut, pokok yang berusia, rosak strukturnya atau terdedah kepada keadaan cuaca ekstrem boleh menjadi risiko kepada keselamatan sekiranya tidak dipantau dengan baik.
Menurut Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd. Johari Mohd. Yusof, insiden pokok tumbang lazimnya dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk hujan lebat, angin kencang, keadaan tanah, penyakit pokok, kerosakan akar, usia serta struktur dahan dan batang yang semakin lemah.
“Dalam kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, risiko tersebut menjadi lebih serius kerana pokok biasanya berada berhampiran jalan raya, laluan pejalan kaki, bangunan, kenderaan dan kemudahan awam.
“Justeru, kaedah pemantauan pokok perlu bergerak seiring perkembangan teknologi. Kecerdasan buatan atau AI boleh menjadi salah satu teknologi yang membantu pihak berkuasa mengenal pasti pokok berisiko sebelum berlaku kejadian tidak diingini,” katanya menerusi perkongsian artikel kepada K-Tekno.
Tambahnya, berbanding bergantung sepenuhnya kepada pemeriksaan secara manual, sistem berasaskan AI mampu menganalisis sejumlah besar data secara berterusan bagi menghasilkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan pokok di sesuatu kawasan.
Antara penggunaan yang berpotensi ialah sistem kamera dan penderia pintar yang ditempatkan di kawasan bandar.
Imej pokok yang dikumpulkan secara berkala boleh dianalisis menggunakan teknologi penglihatan komputer untuk mengenal pasti perubahan pada batang, dahan, daun dan struktur keseluruhan pokok. Tanda-tanda seperti dahan mati, rekahan, perubahan bentuk atau kemerosotan keadaan pokok boleh ditandakan untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai atau arboris.
“AI juga boleh menggabungkan data daripada pelbagai sumber seperti umur pokok, spesies, keadaan tanah, rekod penyelenggaraan, cuaca, lokasi serta sejarah kerosakan.
Apabila data tersebut dianalisis secara bersama, sistem boleh membantu menghasilkan tahap risiko bagi setiap pokok, misalnya rendah, sederhana atau tinggi,” ujarnya.
Kongsinya lagi, pendekatan ini membolehkan pihak bertanggungjawab memberikan keutamaan kepada pokok yang memerlukan pemeriksaan atau tindakan segera.
Lebih menarik, teknologi AI bukan hanya berfungsi selepas pokok ditanam, sebaliknya boleh digunakan untuk perancangan jangka panjang.
Data pertumbuhan pokok boleh dianalisis bagi mengunjurkan keadaan pokok dalam tempoh 10, 20 atau lebih tahun akan datang.
Simulasi tersebut boleh mengambil kira perkembangan bandar, perubahan cuaca, ruang pertumbuhan akar dan kanopi serta kedudukan infrastruktur di sekeliling.
Kata Mohd. Johari lagi, melalui pendekatan ini, pihak berkuasa dapat membuat keputusan yang lebih berasaskan data ketika memilih spesies pokok, lokasi penanaman dan jarak antara pokok dengan jalan raya atau bangunan.
Pokok yang dijangka menimbulkan risiko pada masa hadapan boleh diberikan perhatian lebih awal melalui kaedah pemangkasan, pengukuhan, pemindahan atau penggantian sekiranya diperlukan.
“Teknologi Sistem Maklumat Geografi atau GIS pula boleh digabungkan dengan AI bagi menghasilkan peta digital inventori pokok bandar.
“Setiap pokok boleh diberikan rekod digital yang mengandungi lokasi, spesies, umur, keadaan kesihatan dan sejarah penyelenggaraan,” jelasnya.
Ulasnya lagi, apabila terdapat perubahan pada keadaan pokok, maklumat berkenaan boleh dikemas kini untuk membantu proses pemantauan.
Dalam situasi cuaca ekstrem, sistem AI juga berpotensi menjadi sebahagian daripada mekanisme amaran awal. Data ramalan cuaca seperti hujan lebat dan angin kencang boleh dibandingkan dengan pangkalan data pokok berisiko.
Sekiranya keadaan tertentu dijangka meningkatkan risiko, kawasan terlibat boleh diberikan perhatian segera, termasuk pemeriksaan tambahan atau langkah keselamatan sementara.
Bagaimanapun, kata Mohd. Johari, AI bukan pengganti kepakaran manusia. Keputusan akhir berkaitan keselamatan pokok masih memerlukan pemeriksaan fizikal dan penilaian profesional oleh arboris atau pegawai berkaitan.
AI seharusnya dilihat sebagai alat sokongan yang membantu mempercepat proses mengenal pasti risiko, menyusun keutamaan dan membuat keputusan.
“Dengan menggabungkan AI, penderia, kamera, GIS, data cuaca dan kepakaran manusia, pemantauan pokok bandar boleh dilakukan secara lebih sistematik dan proaktif,” katanya.
Ujarnya lagi, dalam pembangunan bandar pintar, teknologi sedemikian berpotensi menjadikan pengurusan pokok lebih cekap sekali gus membantu melindungi keselamatan orang awam dan memastikan kehijauan bandar terus dikekalkan secara lestari.
The post AI pantau pokok, cegah risiko tumbang appeared first on Kosmo Online.



