
GENEVA: Fenomena El Nino dijangka menjadi yang paling kuat dalam tempoh empat dekad, dengan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberi amaran ia boleh mencetuskan peningkatan risiko cuaca ekstrem di seluruh dunia.
Agensi iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata El Nino dijangka mencapai tahap ‘sangat kuat’ dalam beberapa bulan akan datang dan hampir pasti berterusan sehingga Februari.
“Jika trend ini berterusan, ia mungkin menjadi lebih kuat berbanding mana-mana kejadian sejak pemantauan kami bermula,” kata Ketua WMO, Celeste Saulo, kepada pemberita di Geneva pada Khamis.
Menurut WMO, El Nino dijangka memuncak menjelang penghujung tahun ini, namun kesannya terhadap keadaan iklim global boleh berlanjutan sehingga 2027.
Fenomena itu menyebabkan peningkatan suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, sekali gus mengubah pola angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.
Haba daripada lautan kemudiannya dilepaskan secara beransur-ansur ke atmosfera, menyebabkan peningkatan suhu global pada tahun berikutnya.
El Nino kuat yang berlaku pada 2023-2024 turut menyumbang kepada 2024 direkodkan sebagai tahun paling panas pernah dicatatkan.
Saulo berkata, rekod suhu berkenaan berkemungkinan dipecahkan sekiranya trend pemanasan global semasa berterusan.
“El Nino kini kukuh dan akan bertambah kuat sehingga menjadi fenomena sangat kuat dalam beberapa bulan akan datang,” kata WMO.
Agensi itu berkata keadaan berkenaan dijangka memberi kesan besar terhadap pola hujan dan suhu, selain meningkatkan risiko banjir, kemarau serta cuaca panas melampau.
El Nino merupakan fenomena semula jadi dan tidak berpunca daripada perubahan iklim.
Bagaimanapun, saintis menjangkakan fenomena itu akan memburukkan lagi keadaan panas di bumi akibat pembakaran bahan api fosil, selain meningkatkan kejadian cuaca ekstrem.
“Fenomena El Nino sedang menjadi semakin luar biasa di depan mata kita.
“Tiada ruang untuk meragui bukti saintifik: planet ini sedang memasuki keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini dan suhunya terus meningkat. Suhu permukaan laut semakin panas, suhu terus meningkat dan dunia kini berada dalam zon bahaya cuaca ekstrem,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Saulo menggesa pihak berkuasa pengurusan bencana serta sektor yang sensitif terhadap perubahan iklim, termasuk pertanian, perikanan, kesihatan, tenaga dan air, supaya membuat persediaan menghadapi kesan fenomena itu.- AFP
The post El Nino dijangka terkuat dalam empat dekad appeared first on Utusan Malaysia.


