Aichi-Nagoya 2026: Regu Takraw Malaysia Rebut Emas Dengan Thailand Di Final

28 Sep 2026 • 4:33 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Aichi-Nagoya 2026: Regu Takraw Malaysia Rebut Emas Dengan Thailand Di Final

NAGOYA, 28 Sept (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Filipina 2-1 pada separuh akhir acara regu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menebus kekecewaan tewas kepada lawan sama pada separuh akhir Piala Raja Thai, Ogos lepas.

Regu negara yang dibarisi tekong Muhammad Zulkifli Abd Razak, apit kanan Muhammad Afifuddin Razali dan apit kiri Aidil Aiman Azwawi bermula kurang meyakinkan apabila Filipina mendahului 4-0 dalam aksi di Paloma Mizuho Arena.

Libasan Zulkifli menghadirkan mata pertama Malaysia untuk merapatkan kedudukan 1-4, namun Filipina terus mengawal permainan sebelum melebarkan kelebihan kepada 10-6.

Ketua jurulatih negara Ahmad Jais Baharun kemudian mengubah percaturan dengan memasukkan Mohamad Azlan Alias menggantikan Afifuddin, manakala Mohammad Syahir Mohd Rosdi mengambil tempat Zulkifli bagi memperkemas servis.

Pertukaran itu bagaimanapun belum mampu mengubah rentak permainan apabila Filipina kekal tenang untuk memenangi set pertama 15-10, dengan tekong Rafael Jom Lerry menjadi antara tonggak utama menerusi beberapa aksi menyelamatkan servis Malaysia.

Malaysia tampil lebih tersusun pada set kedua dan meskipun ketinggalan 0-3, Syahir mencetuskan kebangkitan menerusi servis ace untuk menghadirkan mata pertama negara.

Momentum kemudian beralih kepada Malaysia yang buat kali pertama mendahului 7-6 selepas servis Rafael terkandas di jaring, sebelum regu negara terus memperkemas permainan untuk melebarkan kelebihan kepada 11-6.

Malaysia akhirnya menutup set kedua 15-11, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan persaingan sengit antara Syahir dan Rafael apabila kedua-dua tekong saling bertukar mata pada awal permainan, sebelum Malaysia mula mengambil alih kawalan selepas mendahului 2-1.

Syahir terus mempamerkan aksi cemerlang menerusi servis tajam untuk membantu Malaysia melebarkan jurang, manakala Filipina berusaha mencari ruang untuk kembali memberikan saingan.

Regu negara bagaimanapun tidak memberi peluang kepada lawan untuk bangkit apabila kekal tenang sebelum menamatkan set penentuan 15-7, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1 serta tiket ke final. Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Thailand menewaskan Vietnam 2-0 untuk menempah pertemuan dengan Malaysia dalam perebutan pingat emas esok.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved