Aidiladha: Nilai pengorbanan membangunkan umat

26 May 2026 • 11:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aidiladha: Nilai pengorbanan membangunkan umat
Mengambil ibrah Hari Raya Aildildha, semua pihak diseru untuk menghayati nilai pengorbanan untuk membangunkan jiwa insan dengan ilmu, iman, taqwa dan kasih sayang. Gambar kecil: Sirajuddin

HARI Raya Aidiladha membawa makna besar kepada umat Islam untuk dihayati serta dilestarikan dalam kehidupan seharian.

Antara amalan yang disyariatkan adalah ibadah korban selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Hajj ayat 32 yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin."

Amalan ibadat korban adalah amalan yang sangat digalakkan apabila berkunjungnya hari raya Aidiladha. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)

Daripada riwayat Jabir bin Abdullah RA, yang bermaksud:

“Aku berada bersama Rasululullah SAW ketika Hari Raya Korban di masjid. Selepas Rasulullah menghabiskan khutbahnya, lalu Baginda SAW turun dari mimbar dan pergi mendapatkan kibasy kemudian menyembelihnya dengan sendiri, sambil berkata:

"Bismillah Allahu Akbar" sembelihan ini adalah untukku dan untuk mereka yang tidak dapat melakukan korban daripada umatku” (Riwayat Abu Daud)

Ibadat korban selain sebagai amalan ta’abbudiyyah (kehambaan) kepada Allah, ia juga mengajak kita untuk merenung kembali tauladan pengorbanan Nabi Ibrahim AS melaksanakan perintah wahyu dengan penuh kepatuhan. Al-Quran merekodkan kisah agung ini dengan maksud:

”(Ibrahim berkata) Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu.

(Ismail berkata) Wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini, Insya-ALLAH, tergolong dari kalangan mereka yang sabar” (Surah al-Saaffat : 102)

Pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS melaksanakan wahyu ALLAH menjadi syiar ketundukan kepada perintah-Nya. Firman ALLAH dalam Surah Al-Saffat dalam ayat ke 104-105 yang bermaksud:

"Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan."

Pengorbanan Membangunkan Upaya Ummah

Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini telah mengangkat isu pokok untuk dimuhasabah bersama iaitu 'Malaise of the Ummah', sebuah istilah yang dipopularkan oleh sarjana Islam, Profesor Ismail Raji al-Faruqi.

Al-Faruqi dalam karyanya yang terkenal, Islam and the Problem of Civilization, menggambarkan malaise sebagai keadaan kehilangan arah, kemerosotan daya cipta dan ketidakmampuan umat Islam untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam sejarah.

Beliau mengadaptasi konsep ini ke dalam konteks kontemporari dengan menambah beberapa dimensi diagnostik antaranya kekurangan persiapan ilmu yang bersepadu.

Pendidikan di dunia Islam masih bercorak dikotomi. Ada sistem agama yang mengabaikan sains moden dan ada sistem sekular yang meminggirkan nilai-nilai al-Quran.

Akibatnya, lahir generasi yang mungkin fasih dalam ritual tetapi buta teknologi, atau mahir dalam kejuruteraan tetapi kosong dari aspek etika dan akhlak.

Seterusnya, kelemahan keupayaan pertahanan diri. Diagnosis ini membawa kepada kesimpulan bahawa Malaise of the Ummah adalah hasil daripada kegagalan sistemik yang boleh dibaiki melalui reformasi pendidikan, ekonomi dan budaya.

JAKIM komited membangunkan ummah Madani dengan program-program bimbingan serta pendidikan kepada semua golongan.

Antara program yang diberikan keutamaan adalah menyantuni golongan sasar menerusi penganjuran Program Terapi Psikospiritual Islam (PTSI) bagi klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

Program Terapi Psikospiritual Islam memfokuskan kepada aplikasi teori dan praktikal pendidikan rohani yang lebih interaktif bersama para peserta.

Sesi bimbingan kerohanian telah diberikan dengan pendekatan mendidik dengan penuh rahmah dan kasih sayang.

Sinergi berterusan antara agensi kerajaan dan institusi masjid diharap dapat memperkasakan proses pemulihan klien AADK, sekali gus membantu membina masyarakat yang lebih sejahtera pada masa hadapan.

Setiap orang perlu diberikan peluang kedua untuk berubah membina kehidupan yang lebih baik. Tidak wajar kita terus menerus menghukum mereka dengan kekhilafan lampau.

Selain itu, JAKIM juga telah menggerakkan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial dalam kalangan para penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Program ini merupakan inisiatif bersepadu bagi meningkatkan tahap kefahaman, kepekaan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar IPT terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat.

Pendekatan jerayawara merupakan kaedah berkesan dalam menyampaikan mesej secara langsung kepada mahasiswa melalui pendekatan pendidikan, pencegahan dan intervensi awal secara menyeluruh.

Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah turut memperkukuh kefahaman, membina kepekaan serta menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Ia juga menyediakan ruang dialog terbuka antara mahasiswa, pakar dan agensi berkaitan, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.

Golongan muda dalam kalangan mahasiswa adalah aset negara untuk membentuk ummah madani.

Dalam segala keupayaan yang ada, JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri, agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan akan sentiasa berkolaborasi merealisasikan agenda Membangun Malaysia Madani yang dicetuskan Perdana Menteri.

Mengambil ibrah Hari Raya Aildildha, semua pihak diseru untuk menghayati nilai pengorbanan untuk membangunkan jiwa insan dengan ilmu, iman, taqwa dan kasih sayang. Ia adalah perjuangan yang mulia demi agama, negara dan ummah.

*Penulis ialah Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)