Aidilfitri di kota: KLCC jadi tumpuan eratkan keluarga

21 Mar 2026 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Ali mengambil gambar kenangan keluarga di KLCC.
image is not available
Fauziah (tengah) bersama empat dari enam anaknya ketika ditemui di KLCC
image is not available
Cuti umum Aidilfitri terus dimanfaatkan sebaiknya oleh warga tempatan yang tidak pulang ke kampung apabila memilih untuk bersiar-siar di KLCC

KUALA LUMPUR – Cuti umum Aidilfitri terus dimanfaatkan sebaiknya oleh warga tempatan yang tidak pulang ke kampung apabila memilih untuk bersiar-siar dan membeli-belah di sekitar ibu kota bersama keluarga tersayang.

Tinjauan Sinar Harian pada 1 Syawal mendapati suasana di ibu kota mula sibuk, terutama di pusat beli-belah KLCC yang menjadi tumpuan warga tempatan dan perantau yang mengambil peluang meraikan Aidilfitri dalam suasana berbeza.

**media[3468996]**

Pekerja swasta, Fauziah Mohd Yasir, 56, berkata, dia bersama keluarga memilih berkunjung ke KLCC selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berhampiran.

“Memandangkan dua lagi anak saya yang sudah berkahwin dalam perjalanan pulang, jadi saya tunggu di sini (KLCC) untuk berkumpul sebelum sama-sama bertolak ke Rantau, Negeri Sembilan untuk pulang ke kampung beraya.

“Sebelum pulang beraya kami habiskan masa di KLCC untuk bergambar bersama. Malah ‘prop’ hari raya yang ditampilkan di sini agak unik dan menarik,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Bagi Mohd Ali Haiqal, 45, bersama pasangannya, Norfarahizza Azahar, 33, dari Keramat, mereka memilih KLCC sebagai lokasi sambutan raya pertama bersama anak-anak, Muhammad Aisy Aqil, 11, dan Nur Farah Alisha, 9.

Mohd Ali berkata, kelainan suasana Aidilfitri di ibu kota memberi makna tersendiri buat keluarganya yang sebelum ini tidak pernah melepaskan peluang pulang ke kampung di Segamat setiap kali perayaan.

“Saya berasal dari sini, di Keramat. Tahun ini kami beraya di ibu kota sahaja. Saya ke KLCC pada hari raya dan tak sangka begitu ramai orang, tetapi sudah alang-alang sampai, kami ambil gambar raya sebagai kenangan,” ujarnya.

**media[3468997]**

Sementara itu, Mimie Hashim, 60, turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke KLCC merakam momen indah Aidilfitri kerana tidak pulang ke Labuan, Sabah.

“Selain itu, KLCC paling dekat dengan rumah, jadi saya pilih datang ke sini walaupun ramai orang,” ujarnya.

Walaupun tanpa suasana desa dan kampung halaman, Aidilfitri di ibu kota tetap meriah dengan gelak tawa dan kebersamaan keluarga, membuktikan bahawa makna sebenar perayaan itu bukan sekadar lokasi, tetapi pada insan yang diraikan bersama.